MENGUBAH / MERUBAH / MEROBAH...!
Pengimbuhan untuk kata 'ubah' sedikit mengelirukan pengguna bahasa, terutamanya pengguna bahasa yang kurang prihatin. Kata ubah boleh menggunakan imbuhan-imbuhan seperti:-
- ubah + ber- = berubah / berubah-ubah
- ubah + meng- = mengubah
- ubah + meng -kan = mengubahkan
- ubah + ter- = terubah
- ubah + per-an = perubahan
- ubah + peng- = pengubah
- ubah + peng-an = pengubahan
- ubah + memper-kan = memperubahkan
Ada sesetengah pengguna bahasa yang menggunakan imbuhan yang 'tidak wujud' sesuka hati sehingga wujudlah perkataan baharu yang terbukti SALAH dari segi ejaannya. Sila perhatikan perkataan yang dimaksudkan di bawah:-
- merubah X
Wujudnya perkataan di atas hasil pengimbuhan ubah + mer = merubah. Perkataan merubah tidak BETUL dari segi ejaan kerana tidak wujud sebenarnya imbuhan 'mer' dalam bahasa Melayu. Kes ini juga berlaku pada ejaan merbahaya, iaitu bahaya + mer = merbahaya. Jadi jelaslah bahawa ejaan perkataan merubah dan merbahaya adalah SALAH.
Bagaimana pula dengan ejaan perkataan merobah? Adakah ejaan ini betul atau salah?
Untuk kes ini, mungkin banyak yang tidak tahu atau sedar. Sebenarnya ejaan perkataan merobah yang juga membawa maksud mengubah adalah BETUL.
Perkataan robah wujud dan sama erti dengan ubah. Jika diimbuhkan dengan imbuhan awalan me- akan terbentuklah perkataan merobah.
- robah + me- = merobah
Contoh ayat:-
- Munculnya dia dalam hidup telah merobah peganganku tentang agama Islam.
Comments
Post a Comment