SAJAK: PASAR PERASAAN...!



ini pasar perasaan
pada gerainya duduk penjual sentimental
yang sering dikunjungi pembeli emosional.

ini pasar perasaan
mereka memperdagangkan kata-kata
yang terbit daripada kalbu
bukan terbit daripada akal.

mereka memperdagangkan hujah
yang rapuh dan lapuk
bagai kayu buruk
yang mudah dipatahkan
bagai ranting kering.

ini pasar perasaan
di dalamnya mengalir sungai manusia
yang menghilirkan suara kosong.

ini pasar perasaan
yang memperdagangkan akal cetek
dan tawar-menawar yang dangkal.

kumasuki pasar ini
kususuri sungai sibuk ini
di tengah-tengah penjual dan pembeli
yang kaya dengan perasaan
tetapi miskin dengan kebijaksanaan.

ini pasar tidak berakal
yang diriuhkan kekosongan.

T.Alias Taib
Antologi Dirgahayu Bahasaku, DBP.

MAKSUD:-

Rangkap 1 - Pelbagai ragam masyarakat dapat dilihat di warung ( sentimental dan beremosi).

Rangkap 2 - Peniaga memperkatakan sesuatu mengikut rasa hati dan bukannya menggunakan akal.

Rangkap 3 - Golongan ini berhujah tanpa asas kukuh. Hujah mereka mudah dipatahkan.

Rangkap 4 - Di warung, masyarakat lebih banyak berbual-bual kosong.

Rangkap 5 - Mereka berbicara menggunakan akal yang cetek tanpa falsafah yang tinggi.

Rangkap 6 - Penyajak mendapati mereka kaya dengan perasaan tetapi kurang bijak dalam bercakap.

Rangkap 7 - Penyajak mendapati mereka semua tidak menggunakan akal ketika berurusan tetapi
                   sibuk dengan perkaran yang tidak membawa makna.

TEMA:-
  • Sajak ini bertemakan kerenah masyarakat yang begitu lantang bersuara di warung tetapi kurang menggunakan akal tetapi beremosi.
PERSOALAN:-
  • Kepelbagaian latar belakang masyarakat
  • Sikap emosional masyarakat ketika berbahas
  • Tahap pendidikan dan ilmu mempengaruhi perlakuan seseorang



Comments

Popular Posts