TUGASAN KE-2 UNTUK F3...!

Assalamualaikum semua pelajar F3 Faris Petra,
Tugasan pertama mengenai penulisan tentang 'langkah-langkah mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pelajar' telah diposkan pada 22 Mac 2020. Diharapkan semua pelajar telah menyiapkan tugasan tersebut.

Sebagai meneruskan kesinambungan PdPc kita secara maya, di sini cikgu akan nyatakan butiran tugasannya.
Tajuk: MERINGKAS KARANGAN
Objektif: 
1. Semua pelajar diharapkan dapat menulis ringkasan karangan yang panjangnya TIDAK melebihi 
    80 patah perkataan.
2. Menulis dalam SATU perenggan.
3. Dapat mengemukakan isi-isi penting (sekurang-kurangnya 6 isi) berdasarkan arahan soalan.
4. Huraian isi dan contoh dan kesimpulan tidak diperlukan.
5. Pemilihan penanda wacana hendaklah bersesuaian.


Tajuk/soalan:
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis satu ringkasan tentang tujuan-tujuan Universiti Teknologi Malaysia menganjurkan Kursus Pengurusan Sektariat Rakan Muda di Port Dickson. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan.

     Universiti Teknologi Malaysia pertama kalinya menganjurkan Kursus Pengurusan Sektariat Rakan Muda yang diadakan di Port Dickson, baru-baru ini.
Kursus ini bertujuan memberi panduan terperinci kepada ahli baharu untuk menguruskan sektariat tersebut dengan lebih efisien. Selain bertujuan memantap dan menyusun pergerakan sektariat berkenaan, kursus ini juga mahu mewujudkan hubungan erat antara ahli baharu dengan ahli lama dan Kementerian Belia dan Sukan.
     Dalam kursus tersebut, setiap ahli ditanamkan semangat juang, yakin diri dan kepimpinan dalam kalangan penggerak Rakan Muda melalui perkongsian pengalaman dan pengetahuan. Selain itu, kursus ini juga bertujuan untuk menjana sikap positif dan semangat 'yakin boleh' kepada ahli dalam menghadapi cabaran semasa dan akan datang.
Antara pengisian kursus ialah pembentangan modul oleh ahli-ahli senior sektariat, permainan antara kumpulan, ceramah, aktiviti berkumpulan untuk membina kerjasama dan persefahaman peserta, persembahan kumpulan, pelantikan semula ahli sektariat , sesi berbuka puasa dan beramah mesra dengan wakil Kementerian dan lawatan ke Kementerian Belia.
     Mencungkil dan menggilap bakat-bakat kepemimpinan muda juga merupakan antara tujuan dianjurkan kursus ini. Semua peserta diberikan latihan berkaitan melalui modul-modul kursus dan juga melalui penglibatan mereka dalam setiap program yang dilaksanakan. Menurut pihak urus setia, semua ahli peserta telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan minat yang mendalam tentang segala yang dipersembahkan kepada mereka. Bagi pihak urus setia, kejayaan kursus ini semuanya bergantung kepada nawaitu para pesertanya.




Comments

Popular Posts