JAWAPAN SOALAN RINGKASAN PP1 F3 2020 ...!
PEPERIKSAAN PENGGAL PERTAMA 2020
TINGKATAN 3
Bahagian C
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian tulis satu ringkasan tentang kepentingan-kepentingan menjaga kesihatan diri. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak lebih daripada 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Kesihatan merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya. Meskipun anda mempunyai duit yang banyak, duit bukanlah jaminan kepada kesihatan yang baik. Oleh hal itu, menjadi kewajipan setiap individu untuk memastikan amalan penjagaan kesihatan diri dipraktikkan dengan sebaik-baiknya.
Apabila kesihatan diri terjaga, kita mampu melakukan pelbagai aktiviti. Contohnya, bermain bola sepak dan beriadah bersama-sama dengan anggota keluarga dan rakan-rakan. Selain itu. kita dapat belajar dengan selesanya kerana mudah menumpukan perhatian sewaktu guru sedang mengajar di dalam kelas. Kesihatan diri yang terjaga juga membolehkan kita berfikir dengan rasional apabila menghadapi sesuatu perkara. Kita akan menjadi lebih kreatif dan inovatif juga.
Individu yang mengutamakan kesihatan diri dapat mengelakkan diri daripada dijangkiti penyakit. Kewujudan pelbagai penyakit yang berbahaya pada hari ini amat menggerunkan semua lapisan masyarakat. Keadaan ini tidak seharusnya dipandang remeh, sebaliknya perlulah dianggap serius dan disusuli dengan langkah yang lebih efektif. Kita disarankan supaya makan sayur-sayuran dan buah-buahan yang membekalkan pelbagai mineral dan vitamin.
Seseorang yang mementingkan kesihatan diri dapat menjimatkan wang juga. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila seseorang menghidap sesuatu penyakit terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk merawat penyakit yang dihidapnya. Sebaliknya, jika kita sihat, wang yang kita miliki itu dapat digunakan untuk melancong, membuat kebajikan, atau membeli barang keperluan yang lain.
Langkah-langkah sebelum membuat ringkasan:
1. Fahami kehendak soalan - kepetingan menjaga kesihatan diri
2. Menggariskan 6 isi yang terdapat dalam petikan.
3. Senaraikan isi mengikut susunan ( ayat isi tidak perlu diubah )
4. Mula menulis ringkasan dengan menambah penanda-penanda wacana yang sesuai.
Senarai isi mengikut susunan:-
1. Kita mampu melakukan pelbagai aktiviti.
2. Kita dapat belajar dengan selesa ketika guru mengajar di dalam kelas.
3. Kita boleh berfikir dengan rasional apabila menghadapi sesuatu perkara.
4. Kita akan menjadi lebih kreatif dan inovatif.
5. Kita dapat mengelakkan diri kita daripada dijangkiti pelbagai penyakit.
6. Kita dapat menjimatkan wang yang perlu digunakan untuk merawat jika kita dijangkiti.
CONTOH JAWAPAN RINGKASAN:-
Pelbagai kepentingan yang akan kita peroleh apabila kita menjaga kesihatan diri. Antaranya ialah kita mampu melakukan pelbagai aktiviti. Kita juga dapat belajar dengan selesa ketika guru mengajar di dalam kelas. Selain itu, dengan menjaga kesihatan diri kita boleh berfikir dengan rasional apabila menghadapi sesuatu perkara. Seterusnya, kita akan menjadi lebih kreatif dan inovatif. Dengan menjaga kesihatan diri, kita dapat mengelakkan diri kita daripada dijangkiti pelbagai penyakit. Akhir sekali, kita dapat menjimatkan wang yang perlu digunakan untuk merawat jika kita dijangkiti sebarang penyakit.
( 80 patah perkataan)
Yang berhuruf kuning ialah penanda wacana yang digunakan
Comments
Post a Comment