MEMPERKASAKAN @ MEMPERKASA ...!

Team Choral Speaking Faris: Menjuarai pertandingan peringkat kebangsaan 2019 kerana usaha memperkasakan team berjaya.

Kata dasarnya ialah perkasa yang bermaksud kuat atau gagah. Jika ditambah imbuhan awalan berangkap memper-, (memper-+ perkasa) maka jadinya memperperkasa! Masalahnya timbul persoalan, sama ada perkataan memperperkasa itu gramatis atau tidak? Betulkah wujud perkataan memperperkasa dalam kosa kata bahasa Melayu?

Sebenarnya kata perkasa tidak boleh menerima imbuhan awalan berangkap memper-. Kata perkasa hanya boleh menerima imbuhan apitan mem-kan, menjadi mem-+perkasa + -kan > memperkasakan. Hal ini demikian tidak boleh disamakan dengan kata adjektif lain yang tidak boleh menerima imbuhan awalan berangkap memper- berserta dengan akhiran -kan. Contoh;
  • lebat > memper- + lebat + -kan = memperlebatkan (tidak gramatis)
  • lebar > memper- + lebar + -kan = memperlebarkan (tidak gramatis)
  • luas > memper- + luas + -kan = memperluaskan (tidak gramatis)
  • indah > memper- + indah + -kan = memperindahkan (tidak gramatis)
Bagi 4 kata adjektif di atas akan menjadi gramatis jika hanya menerima awalan berangkap sahaja atau lebih mudah kita rumuskan setiap kata adjektif HANYA boleh menerima 2 imbuhan sahaja BUKAN 3 imbuhan.
  • lebat > memperlebat @ melebatkan
  • lebar > memperlebar @ melebarkan
  • luas > memperluas @ meluaskan
  • indah > memperindah @ mengindahkan
Kesimpulannya, bagi proses pengimbuhan kata adjektif; kita perlulah memastikan bahawa maksimum penambahan imbuhannya hanya DUA bukan TIGA.
  • memperkasakan √ - 2 imbuhan
  • memperluas √ - 2 imbuhan
  • memperluaskan × 3 imbuhan
  • meluaskan √ - 2 imbuhan

Comments

Popular Posts