MERAKAM CITRA DUNIA BAHARU...!

 

Bermula 25 Jun 2021, hari Jumaat, penghulu hari.... maka telah rasmilah cikgu bergelar 'Guru Pencen' setelah menaburkan bakti hampir 37 tahun mendidik anak watan. Pelbagai pengalaman yang ditempuh bermula 1984 hinggalah pertengahan tahun 2021dengan empat buah sekolah menjadi tempat di mana cikgu telah mencurahkan bakti; 
  • Sekolah Rendah Kerajaan Kg. Melayu Samarahan, Sarawak (1984 - 1986)
  • Kolej Tun Abdul Razak, Jln Kuching-Serian, Kuching, Sarawak (1987 - 1988)
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Dewan Beta, Kota Bharu, Kelantan (1/1989 - 12/1989)
  • SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu, Kelantan (12/1989 - 6/2021)
Kesempatan pada kali ini cikgu akan cuba berkongsi dengan pelajar-pelajar pembaca blog sekalian berkenaan pengalaman-pengalaman indah yang tidak dapat dilupakan semasa berkhidmat di sekolah-sekolah tersebut. Cikgu akan memulakannya dengan sekolah pertama, iaitu sekolah pertama cikgu bergelar seorang 'guru', Sekolah Rendah Kerajaan Kg. Melayu, Samarahan, Sarawak.
  • Sekolah Rendah Kerajaan Kg. Melayu
Sebuah sekolah di kawasan pedalaman pada masa itu. Dari bandar Kuching terpaksa menaiki bas ke Muara Tuang, rasanya mengambil masa hampir 2 jam kerana pada tahun 1984 itu, hanya separuh jalan sahaja berturap tar, selebihnya batu-batu kasar serta lubang-lubang besar yang sedia menggongcangkan badan bas yang sudah uzur. Di Muara Tuang, saya dijemput oleh En. Hassan Rel, Guru Besar sekolah tersebut yang meminta saya membeli bekalan makanan kerana di kampung nanti sukar untuk mendapatkan bekalan.
Biar cikgu kongsikan dulu foto-foto sekolah cikgu itu. Lepas ini cikgu akan menyambung cerita kembali.

Darjah 1(1984/85)
Murid-murid ini kini berumur 44 tahun?
Darjah 6(1985)

Dalam jangka masa 3 tahun saya mengajar di sekolah ini, banyak kisah suka duka yang ditempuhi bersama murid dan masyarakat di sini. 
Lebih kurang pukul 2.30 petang, saya, Cikgu Muhammad (rakan setugas yang posting sekolah yang sama), Hassan Rel, Guru Besar menaiki bot bertolak ke Kg. Melayu.(Sambung cerita)
Saya ringankan mulut bertanyakan Cikgu Hassan, jam berapa kita akan sampai. "Sekejap aje, lebih kurang sebatang rokok saje," jawab Cikgu Hassan dengan selamba. "Oh.......tak jauh," bisik saya. Tapi.... disebabkan bot hanya menggunakan enjin pam air, tut...tut...tut, kini dah jam 6.30 petang, hati saya dan Cikgu Muhammad menjadi semakin resah. Setelah hampir 4 jam di dalam bot tut...tut, akhirnya kami sampai di sebuah jeti, kelihatan ramai yang menunggu cikgu baru!
Selepas bersalaman.... kami diajukan dengan soalan yang cukup asing, "kitak dari sine cikgu?" Saya dan Cikgu Muhammad tersengih-sengih, tak faham.

(Bersambung)
 

 


Comments

Popular Posts