SINOPSIS: SUTERA DALAM LUKISAN (BAB 2)...!
BAB 2 : INILAH DUNIA CIPTAANNYA
- Sidang Saman menegur Hafiz dengan panggilan Bujei daripada jambatan sungai kecil itu. Hafiz rasa lucu apabila melihat kehadiran Sidang Saman kerana dia menyangka orang lain yang menunggang motosikal.
- Sidang Saman memarahi Hafiz yang berkelakuan sedemikian. Hafiz memberitahu bahawa dia bertindak sedemikian kerana menganggap Lias yang datang kerana Lias selalu menyuruh Hafiz terjun sungai. (dialog)
- Sidang Saman menghidupkan enjin motor sebaik sahaja azan maghrib berbunyi dan meminta Hafiz naik dengan segera sambil berlalu dari situ. (latar masa)
- Hafiz kesal kerana perbuatannya yang sia-sia itu. Hafiz menggambarkan Alias yang merupakan orang yang ditakutinya di kampung itu. Apa-apa yang disuruh oleh Alias tidak pernah dibantahnya. Turun ke dalam sungai dan membasahkan diri serta mengotorkan seluruh badannya merupakan antara suruhan Alias. Alias akan menghukumnya andai dia membantah seperti disepak, dipukul dan diterajang. (imbas kembali)
- Hafiz bergerak ke rumahnya dalam keadaan basah kuyup. Perutnya lapar dan dia sedang menjangka-jangka makanan yang akan mengisi perutnya malam nanti. Mungkin pisang berangan, lebihan semalam masih ada di dapur. Apa-apa makanan tidak menjadi halangan kepadanya asalkan perutnya berisi. (imbas muka)
- Hafiz tinggal di rumah neneknya yang kurang sempurna. Dia membaiki sendiri rumah itu dan dijaganya dengan baik. Dia menyusun peralatan rumah dengan kemas. (perwatakan luaran)
- Suasana gelap sebaik sahaja dia tiba di rumah. Selepas membersihkan diri, dia berlagak seperti menonton televisyen dan mendengar radio sambil makan pisang. Sesekali dia bersorak gembira, bertepuk tangan dan menjerit di hadapan televisyen. Itulah alamnya dan tiada sesiapa yang mengganggu. (perwatakan luaran)
- Sambil berbaring di dalam kelambu, dia berangan-angan. Dia kerap kali mengingati keadaan dirinya yang akan berubah suatu hari nanti. Dia bercita-cita untuk mendapat kesenangan, bekerja dan bergaji besar. Dia ingin memandu sebuah kereta mewah yang akan menjadi pandangan dan sebutan seluruh penduduk kampung. Ketika itulah dia akan berkahwin dengan Same’ah. (imbas muka)
- Same’ah ialah anak Sidang Saman. Same’ah baik dan bertimbang rasa kepadanya . Same’ah melayannya dengan dengan kasih sayang dan tidak pernah menganggapnya sama seperti anggapan orang lain terhadapnya. (perwatakan dalaman)
- Dia merasakan Same’ah kasih kepadanya. Dia mengetahui bahawa Same’ah sudah bertunang dan dua bulan lagi akan melangsungkan perkahwinannya. Bakal suami Same’ah seorang pegawai di kota besar. Pernah beberapa kali dia berbual-bual dengan bakal suami Same’ah. Semua itu tidak menjadi halangan kepadanya untuk terus berangan bersama-sama Same’ah.
- Hafiz akan tersedar setiap kali azan Subuh berbunyi. Dia akan terus mandi, menggosok gigi dan membersihkan badan seperti yang dianjurkan oleh Same’ah. Apa-apa suruhan Same’ah tidak pernah diingkarinya. (perwatakan dalaman)
- Hafiz berkira-kira pekerjaan yang akan dilakukannya pada hari itu. Biasanya dia akan menunggu sesiapa sahaja di simpang berhampiran jambatan. Mereka mungkin akan mempelawanya untuk menolong di kebun. Apa yang penting baginya dia akan mendapat upah selepas itu. (imbas muka)
- Hafiz berkata sendirian bahawa dia mesti bergaya sebelum pergi kerja ketika menyisir rambut. (monolog)
- Dalam keadaan gelap pagi, Hafiz berjalan meninggalkan rumah. Dia tiba di persimpangan jalan berhampiran jambatan. Di bawah pokok bunga dia menunggu-nunggu dengan penuh harapan. Akhirnya dia duduk bersandar di pangkal pokok dan terlena di situ. (latar masa dan tempat)
- Hafiz terjaga apabila dikejutkan oleh Kasim dan rakan-rakannya. Hafiz meminta air yang dibawa oleh Kasim sebagai bekal ke sekolah. Dia juga meminta kuih daripada Sulaiman. Sebagai upah, Hafiz perlu membawa beg sekolah mereka.
- Sambil berbual-bual dengan kanak-kanak tersebut, Hafiz membayangkan jika dia menjadi guru besar, dia akan memberi cuti setiap hari seperti pekerjaannya kini sebagai pegawai yang bercuti setiap hari. Dia meminta supaya sampaikan salam kepada cikgu Salabiah. Hafiz meminta mi daripada Husin. Hafiz sempat mengingatkan rakan-rakannya itu supaya belajar bersungguh-sungguh. (imbas muka dan perwatakan dalaman)
- Sebaik meninggalkan sekolah, Hafiz ke kedai makan kerana makanan yang diminta daripada budak-budak sekolah tadi belum mengenyangkannya. Langkahnya perlahan-lahan apabila sampai di kedai Pak Sulong, tetapi tiada orang yang mempelawanya. Hafiz menegaskan pada dirinya bahawa dia tidak mahu meminta-minta kerana dia mempunyai harga diri. Jika ada orang yang mempelawanya dia tidak akan menolak. (perwatakan dalaman)
- Hafiz berdiri pada tiang kedai dan akhirnya terduduk. Tiada seorangpun yang mempelawa dia makan. Pada saat inilah dia terkenangkan dirinya dan benar-benar rasa terbuang. Orang kampung melihatnya seperti musuh, tidak berhati perut dan tidak mempunyai perasaan belas kasihan. (latar masyarakat)
- Air mata Hafiz berlinangan, dia menekupkan kepala di atas lututnya dan tidak lama kemudian dia tertidur.
Sumber: Ubah suai daripada Blog Cikgu Azaman
Comments
Post a Comment