SINOPSIS SUTERA DALAM LUKISAN (BAB 5)...!
BAB 5: RAJUK YANG TAK TERPUJUK
- Di serambi rumah, Same’ah dan Adila sedang membentuk bekas bunga telur. Adila memberitahu bahawa dia ingin menemu ramah Hafiz. Same’ah berasa aneh dengan perkara yang akan dilakukan Adila itu. Dia tidak dapat menerima kewajaran bahawa Hafiz boleh dijadikan bahan ilmu dan sumber kajian. Padanya, Hafiz tidak berbeza dengan manusia-manusia lain yang dikatakan terencat akal. (latar tempat)
- Adila menyatakan bahawa Hafiz boleh dipulihkan. Dia dapat merasakan bahawa Hafiz boleh dipulihkan menjadi manusia biasa seperti mereka. Same’ah menyedari bahawa tiada seorang pun orang kampung yang berfikir Hafiz boleh dipulihkan.
- Same’ah mula memikirkan motif Adila datang ke kampung itu sejak dua bulan yang lalu. Lazimnya seorang graduan akan bekerja setelah tamat pengajiannya tetapi Adila tidak menunjukkan hasrat untuk bekerja. Same’ah yakin ada satu rahsia lain yang sedang disembunyikan Adila daripada pengetahuannya. (monolog dalaman)
- Hubungan mereka sebagai saudara sepupu sebenarnya tidak berapa mesra sebelum ini kerana mereka berjauhan. Adila tinggal di kota dan Same’ah tinggal di kampung. Selama lima tahun Adila berada di luar negeri dan kini berada di kampung dengan alasan yang belum diketahuinya. (latar masa dan monolog dalaman)
- Adila bersedia untuk menceritakan rahsia yang menyebabkan dia datang ke kampung itu tetapi tidak sempat bercerita kerana Sidang Saman pulang.
- Pada petang itu, Same’ah dan Adila menyambung kerja mereka sambil dibantu oleh dua orang adiknya, Saniah dan Samsul. Same’ah bertanyakan Samsul tentang kisah Hafiz pada hari itu kerana Samsul banyak bercerita tentang Hafiz setiap hari. (latar masa)
- Sidang Saman memberitahu bahawa dia mendengar Harun sudah pulang ke kampung semalam. Kepulangan Harun menjadi tanda tanya kerana Harun sudah lama menghilangkan diri. Mak Lamah mencurigai kepulangan Harun dan Sidang Saman mengagak kepulangan itu ada kaitan dengan musim buah sekarang ini. (dialog)
- Same’ah terbayangkan tanah dusun sehektar di sebelah darat yang menjadi pusaka Hafiz. Tanah itu sebenarnya masih atas nama arwah bapa kandungnya. Hasil dusun itu jarang-jarang benar dapat dinikmati oleh Hafiz kerana Harun membolot semuanya.
- Mak Lamah menanyakan Same’ah yang ingin tidur di rumah Pak Usu. Same’ah memberitahu bahawa mereka akan pergi selepas Asar nanti. (latar masa)
- Mak Usu Bakyah sudah agak lama mengharapkan kedua-dua anak saudaranya itu bertandang tidur di rumahnya. Mak Usu Bakyah ialah adik bongsu Sidang Saman, berusia lebih tiga puluh lima tahun. Same’ah dan Adila gembira berada di rumah Mak Usuh Bakyah dan banyak kisah anak muda menjadi bahan bualan mereka.
- Malam itu, mereka bertiga masih berjaga dan berbual tentang banyak perkara seperti hal perkahwinan Same’ah, persediaan menghadapi perkahwinan dan kisah Adila di England. (latar masa)
- Adila menceritakan kisah hidup yang dirahsiakan sebelum ini. Sebelum dia meninggalkan tanah air untuk menuntut di England, dia mengenali Faizal yang berada di tahun akhir pengajiannya. Mereka berjanji untuk menunggu dan masing-masing bersumpah dalam hati untuk setia. Apabila pulang, Adila diberitahu bahawa Faizal sudah beristeri. Faizal datang berjumpa dengannya dan memujuk Adila kembali kepadanya. Adila tegas dengan keputusan yang tidak akan menerima kembali Faizal dan meminta ayahnya menghantarnya ke kampung itu. (latar tempat dan imbas kembali)
- Adila memberitahu bahawa dia ingin berehat dan menenangkan fikirannya dahulu sebelum mencari pekerjaan. Adila ingin tinggal di kampung itu sehingga dia betul-betul yakin semula.
- Mak Usu Bakyah menyatakan lelaki yang lurus dan jujur ialah Hafiz, tetapi kurang akal pula. Same’ah menyatakan kejujuran yang ada pada Hafiz tidak bermakna kerana tiada siapa yang mahukannya tetapi dibantah oleh Mak Usu Bakyah. (perwatakan dalaman)
- Adila ingin mengetahui keistimewaan yang ada pada Hafiz. Mak Usu Bakyah menyamakan HafIz seperti sumur iaitu rupanya tidak elok, kelihatan airnya keruh dengan rumpai yang menyemarakkan tetapi tersembunyi sesuatu, umpama air segar dingin, bersih dan menyihatkan. Adila merasakan apa yang diperkatakan oleh Mak Usu Bakyah ada kebenarannya. (dialog)
Comments
Post a Comment