SINOPSIS: SUTERA DALAM LUKISAN (BAB 1)...!


BAB 1 : SURATAN YANG PERLU KUTERIMA

  • Di tepi sungai kecil, pada waktu petang, Hafiz/Bujei menampar-nampar agas yang hinggap di muka dan hidungnya. (latar tempat dan masa)
  • Pengarang menggambarkan anak sungai yang lebarnya lebih kurang 9 meter di antara dua tebing. Airnya sentiasa mengalir walaupun pada musim kemarau. Airnya tidak sejernih dahulu tetapi masih tetap dingin dan segar.(teknik pemerian)
  • Kadang-kadang Hafiz berada di tebing sungai untuk memancing dan memanggang ikan yang diperolehnya dan diratahnya sampai habis. Biasanya tebing sungai itu menjadi tempat rehatnya, berbaring dan kemudian terlena. (latar tempat)
  • Begitulah keadaan Hafiz sejak dahulu lagi. Sejak opahnya masih hidup lagi, dia sudah biasa di situ. Dia berasa tenteram apabila berada di situ.
  • Penduduk kampung melihat Hafiz sebagai seorang pemuda yang tidak berakal, bodoh, dungu dan dia sendiri merasakan dirinya sebegitu. Dia mahu menjadikan dirinya apa-apa yang orang lain ingin dia jadi.
  • Namun, di sebalik segala keburukan itu, dalam dirinya, otaknya, hatinya dan perasaannya masih tersimpan benih-benih kemanusiaan. Kadangkala dia merasakan dirinya bukan seperti apa-apa yang dikatakan oleh orang lain. Dia sedar dirinya tidak sebodoh yang dituduh, tidak sedungu yang disangka malah akalnya masih berfungsi sebagai seorang insan yang biasa.
  • Malangnya masih ada manusia lain yang terus-menerus mendesaknya menjadi bodoh, dungu dan tidak berakal. Kalaupun masih ada yang bersimpati, tetapi atas tuntutan lain dan kepentingan diri sendiri. (monolog dalaman)
  • Bapa Hafiz ialah seorang tentera. Dia begitu bangga dengan tugas bapanya dan sering kali bercerita tentang bapanya kepada kawan-kawan di sekolah. Dia sendiri bercita-cita untuk mengikut jejak bapanya. (perwatakan luaran)
  • Tragedi pertama yang menimpa dirinya ialah apabila bapanya meninggal dunia dalam suatu kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Karak. Jiwa dan perasaannya terganggu. Ibunya membawanya pulang ke kampung. (imbas kembali)
  • Walaupun dia tidak gembira sepenuhnya, namun didikan dan kasih sayang ibu serta kemesraan neneknya mampu menjadi penawar sehingga dia kembali segar dengan semangat dan harapan. Di sekolah, dia kembali membuktikan dirinya sebagai seorang murid yang cemerlang.
  • Ibunya berkahwin lagi. Fatimah yang masih memiliki rupa yang menarik dan memiliki wang yang banyak hasil sumbangan daripada angkatan tentera dan pihak lain serta sebidang tanah yang ditinggalkan oleh arwah suaminya menjadi buruan lelaki.
  • Fatimah berkahwin dengan Harun, seorang duda yang menjadi mandur di ladang kelapa sawit berhampiran kampungnya tanpa melihat cacat-cela suaminya. Keluarganya kesal kerana Fatimah memilih Harun. Akhirnya Fatimah mula menyedari kesilapan yang dilakukannya. (perwatakan luaran)
  • Beberapa bulan berkahwin, Harun memujuk Fatimah menyerahkan RM15 ribu untuk membeli kereta walaupun wang tersebut menjadi hajatnya untuk menunaikan haji dan menampung pelajaran anaknya. Fatimah terpengaruh dengan Harun yang menunjukkan sikap tanggungjawab yang tinggi sehingga bisik-bisik yang didengarinya tidak langsung mempengaruhinya.
  • Belum setahun perkahwinannya, sikap buruk Harun terdedah. Janji Harun untuk memberikan kasih sayang kepada anak tirinya tidak ditunaikan. Harun menunjukkan kebencian kepada anaknya dan menganggap sebagai sampah yang menumpang. Fatimah yang pada asalnya bersifat sederhana dan tidak tahu melawan turut menjadi mangsa. (perwatakan dalaman)
  • Fatimah terus berlagak biasa seolah-olah dia terus bahagia dalam rumah tangga bersama Harun tetapi orang kampung sudah dapat meneka apa yang berlaku.
  • Harun terus mendesak wang daripada isterinya sehingga wang peninggalan arwah suaminya habis dikikis Harun. Hafiz melihat ibunya dipukul, disepak dan diterajang oleh Harun. Pada waktu senja bapa tirinya meminta wang atau seutas rantai yang masih ada daripada ibunya. Ibunya diterajang sehingga pengsan. Hafiz menerkam ke arah bapa tirinya tetapi dilibas oleh Harun sehingga dia tercampak ke dinding. Dia melihat Harun menyepak pelita sehingga terpelanting dan api menyambar rumah. Dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana badannya lemah. (latar masa, tempat, perwatakan dalaman)
  • Dengan kudrat yang ada, Hafiz bingkas bangun dan meluru ke bilik untuk menyelamatkan ibunya tetapi tidak dapat menembusi asap yang tebal. Dia merasakan dirinya dirangkul dengan kasar yang cuba menariknya keluar. Dia sempat mendengar batukan ibunya beberapa kali. (perwatakan dalaman)
  • Di luar rumah, Hafiz melihat bapa tirinya memberitahu bahawa dialah yang bermain dengan pelita sehingga bilik terbakar. Orang ramai seolah-olah mempercayai kata-kata bapa tirinya. (imbas kembali)
  • Begitulah kenangan yang selalu datang dalam ingatannya setiap kali dia bersendirian terutama ketika berada di tebing sungai itu. Lamunannya tersentak apabila dia terdengar bunyi motosikal yang bergerak menghampirinya.
  • Sebaik sahaja motosikal itu menghampiri sebuah jambatan, Hafiz terus terjun ke dalam sungai dan dibenam-benamkan dirinya ke dalam air yang separas betisnya itu. (saspens)
  • Tuk Sidang yang menunggang motosikal berhenti di tengah-tengah jambatan itu dan hairan melihat pemuda di dalam sungai itu berkelakuan aneh. Walaupun dia sebenarnya sedar akan sifat dan sikap pemuda itu, namun baru sekali itulah dia melihatnya berkelakuan demikian. (latar tempat)
Sumber: Ubah suai daripada Blog Cikgu Azaman

Comments

Popular Posts