ISU KATA GANTI DIRI 'IA'...!
Penggunaan kata ganti nama diri ketiga ia masih menimbulkan polemik dalam kalangan pengguna bahasa Melayu, dan yang paling teruk menerima kesannya ialah golongan pelajar. Mereka menjadi keliru kerana terdapat dua 'mazhab' yang berbeza pendapat tentang penggunaan 'ia'.
- Merujuk Kamus Dewan Edisi Ketiga, kata 'ia' hanya merujuk kata ganti diri ketiga manusia, iaitu 'ia' ialah singkatan kepada kata ganti diri 'dia'. Hal ini bermakna penggunaan 'ia' hanyalah merujuk kata ganti diri ketiga manusia dan TIDAK boleh digunakan sebagai kata ganti diri benda, binatang atau objek abstrak. Berdasarkan kamus tersebut penggunaan 'ia' adalah seperti di bawah:-
- Ia (Dia) anak orang berada. - BETUL
- Amin pergi ke sekolah. Ia (Dia) pergi dengan bas. - BETUL
- Basikal itu rosak. Ia (Dia) rosak kerana terlanggar pagar batu. - SALAH
- Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 1874. Ia (Dia) berlangsung di atas kapal Pluto. - SALAH
- Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat pula, kata 'ia' diberikan makna sebagai kata ganti diri ketiga manusia, benda, perkara dan juga objek abstrak. Alasan yang dikemukakan ialah penggunaan kata 'ia' adalah ringkas dan dapat mengelakkan pengulangan menyebut benda/perkara/binatang berulang-ulang. Lihat contoh pengulangan yang berlaku di bawah:-
- Basikal itu masih baharu. Basikal itu kepunyaan Abu.
- Kambing itu gemuk. Kambing itu sedang meragut rumput.
- Basikal itu masih baharu. Ia kepunyaan saya.
- Kambing itu gemuk. Ia sedang meragut rumput.
- Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874. Ia berlangsung di atas kapal Pluto.
Dua 'mazhab' yang terkandung dalam kedua-dua kamus tersebut telah menyebabkan berlaku kekeliruan dan kemusykilan oleh banyak pihak. Namun, polemik ini sebenarnya dapat diselesaikan dengan mudah apabila kita kembali merujuk buku 'Tatabahasa Dewan' yang menjadi kitab rujukan penggunaan bahasa Melayu.
Apabila kita membuat rujukan menggunakan buku 'Tatabahasa Dewan', maka maksud kata 'ia' berdasarkan Kamus Dewan Edisi Ketiga MESTI dipakai iaitu 'ia' merujuk kata ganti diri ketiga manusia sahaja.
Penggunaan 'ia' untuk kata ganti benda, perkara, binatang yang dicadangkan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat boleh dipakai tetapi bukan dalam situasi baku. Maksudnya untuk menjawab soalan peperiksaan, menulis karangan, kita MESTILAH menggunakan panduan yang dikemukakan oleh Kamus Dewan Edisi Ketiga.
Harus diingat bahawa sesebuah buku kamus hanyalah berfungsi sebagai buku yang menjelaskan makna sesuatu kata dan tidak semestinya kata yang dikeluarkan melalui kamus tersebut semestinya tepat dari segi kebakuannya.
KESIMPULANNYA:
- Budak itu sangat lapar. Ia makan dengan gelojohnya. - BETUL
- Kereta merah itu sedang dibaiki. Ia rosak kerana enjin terlalu panas. - SALAH
- Cuaca yang amat sejuk melanda utara England. Ia boleh mendatangkan bencana. - SALAH
Comments
Post a Comment