KATA HAMPIR SAMA (SEBUTAN)...!


Dalam bahasa Melayu terdapat beberapa patah perkataan yang sebutannya hampir sama tetapi membawa makna yang berbeza. Sila analisis perkataan di bawah:-
  • bergabung = berkumpul, bersatu
  • berkabung = berdukacita
  1. Tentera Amerika bergabung dengan tentera Britain melancarkan perang terhadap Iraq.
  2. Rakyat negeri itu masih dalam berkabung kerana kemangkatan Sultan Zainal Abidin.
  • tatap = perihal menengok
  • ratap = menangis
  1. Sila tatap wajah abang sepuas-puasnya sebelum berangkat ke medan perang.
  2. Ratap tangis anak kecil itu menyentuh hati orang ramai.
  • menonton = melihat atau menyaksikan
  • menuntun = memimpin atau mengheret
  1. Mereka sekeluarga sedang menonton rancangan televisyen.
  2. Kami terpaksa menuntun basikal yang rosak itu.
  • tafsir = penjelasan sesuatu ayat atau peristiwa spt mimpi
  • taksir = kira, nilai dan hitung
  1. Jangan tafsir ayat al-Quran mengikut kepentingan diri.
  2. Sila taksir kerugian perniagaan awak pada minggu ini.
  • semesta = segenap alam, seluruh
  • semester = tempoh pengajian di universiti
  1. Ya Allah, Tuhan pencipta semesta alam.
  2. Semester baharu UPM akan bermula awal September ini.
  • pedalaman = daerah yang jauh atau kawasan yang terpencil
  • pendalaman = perihal mendalamkan, menggali
  1. Saya pernah bertugas di pedalaman.
  2. Kerja-kerja pendalaman dasar sungai akan diteruskan.
  • tempuh = hadapi, lalui
  • tempoh = jangka masa
  1. Jangan tempuh laluan berbahaya itu seorang diri.
  2. Awak mestilah menyiapkan latihan itu dalam tempoh yang ditetapkan.
  • rasmi = disahkan oleh pihak berwajib, formal
  • resmi = kebiasaan, sifat semula jadi
  1. Majlis rasmi itu dihadiri oleh pembesar negeri.
  2. Jangan ikut resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung.
  • jerang = memasak, mendidihkan air
  • jarang = jauh, renggang, tidak rapat
  • jarang-jarang = tidak kerap, sekali-sekala
  1. Tolong jerang sekendi air.
  2. Gigi orang tua itu semakin jarang.
  3. Kami jarang-jarang balik ke kampung apabila cuti sekolah.
  • berasa = perihal perasaan, hati
  • merasa = perihal deria rasa - dengan lidah, tangan, kaki
  1. Pelajar-pelajar berasa gembira apabila tiba cuti penggal.
  2. Emak merasa lauk kari yang dimasaknya.
  • hampas = sisa sesuatu benda yang sudah diambil patinya - tebu, kelapa
  • hempas = campak, buang ke lantai, tanah
  1. Hampas kelapa boleh dibuat baja organik.
  2. Jangan hempas barang permainan itu ke lantai.
  • cas = menambah kuasa bateri, elektrik
  • caj = bayaran atau upah yang dikenakan
  1. Jangan cas telefon anda di dalam dorm.
  2. Pelanggan akan dikenakan caj tambahan jika lewat melaporkan diri.
  • rabun = kabur
  • rabung = puncak bumbung rumah, barisan bukit
  1. Pelajar yang menghadapi masalah rabun jauh diminta duduk di bahagian depan kelas.
  2. Rabung rumahnya rosak teruk dipikul ribut kencang.
  • golongan = kelompok atau kumpulan
  • gulungan = melipat benda seperti tikar, permaidani
  1. Golongan muda diseru agar memantapkan jati diri masing-masing.
  2. Gulungan tikar itu hendaklah disandarkan ke dinding.
  • berhemah = berakhlak tinggi, baik, berbudi pekerti
  • berhemat = cermat, teliti
  1. Guru itu ialah seorang yang berhemah dan beliau dipandang tinggi oleh masyarakat.
  2. Kita mestilah berhemat ketika berbelanja.
  • agong = khusus untuk jawatan
  • agung = besar, terkemuka, prestij, tinggi
  1. Yang di-Pertuan Agong berangkat merasmikan majlis.
  2. Mesyuarat agung PIBG akan berlangsung pada minggu hadapan.
  • padan = cocok, sesuai
  • padan = lawan, banding
  • padam = tidak bernyala, tidak hidup, melenyapkan, menghapuskan
  1. Wanita itu amat padan dengan saya.
  2. Kekuatan pasukan Kelantan dengan pasukan Selangor sama padan.
  3. Jangan padam tulisan saya di papan putih itu.

Comments

Popular Posts