KATA HAMPIR SAMA (SEBUTAN)...!
Dalam bahasa Melayu terdapat beberapa patah perkataan yang sebutannya hampir sama tetapi membawa makna yang berbeza. Sila analisis perkataan di bawah:-
- bergabung = berkumpul, bersatu
- berkabung = berdukacita
- Tentera Amerika bergabung dengan tentera Britain melancarkan perang terhadap Iraq.
- Rakyat negeri itu masih dalam berkabung kerana kemangkatan Sultan Zainal Abidin.
- tatap = perihal menengok
- ratap = menangis
- Sila tatap wajah abang sepuas-puasnya sebelum berangkat ke medan perang.
- Ratap tangis anak kecil itu menyentuh hati orang ramai.
- menonton = melihat atau menyaksikan
- menuntun = memimpin atau mengheret
- Mereka sekeluarga sedang menonton rancangan televisyen.
- Kami terpaksa menuntun basikal yang rosak itu.
- tafsir = penjelasan sesuatu ayat atau peristiwa spt mimpi
- taksir = kira, nilai dan hitung
- Jangan tafsir ayat al-Quran mengikut kepentingan diri.
- Sila taksir kerugian perniagaan awak pada minggu ini.
- semesta = segenap alam, seluruh
- semester = tempoh pengajian di universiti
- Ya Allah, Tuhan pencipta semesta alam.
- Semester baharu UPM akan bermula awal September ini.
- pedalaman = daerah yang jauh atau kawasan yang terpencil
- pendalaman = perihal mendalamkan, menggali
- Saya pernah bertugas di pedalaman.
- Kerja-kerja pendalaman dasar sungai akan diteruskan.
- tempuh = hadapi, lalui
- tempoh = jangka masa
- Jangan tempuh laluan berbahaya itu seorang diri.
- Awak mestilah menyiapkan latihan itu dalam tempoh yang ditetapkan.
- rasmi = disahkan oleh pihak berwajib, formal
- resmi = kebiasaan, sifat semula jadi
- Majlis rasmi itu dihadiri oleh pembesar negeri.
- Jangan ikut resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung.
- jerang = memasak, mendidihkan air
- jarang = jauh, renggang, tidak rapat
- jarang-jarang = tidak kerap, sekali-sekala
- Tolong jerang sekendi air.
- Gigi orang tua itu semakin jarang.
- Kami jarang-jarang balik ke kampung apabila cuti sekolah.
- berasa = perihal perasaan, hati
- merasa = perihal deria rasa - dengan lidah, tangan, kaki
- Pelajar-pelajar berasa gembira apabila tiba cuti penggal.
- Emak merasa lauk kari yang dimasaknya.
- hampas = sisa sesuatu benda yang sudah diambil patinya - tebu, kelapa
- hempas = campak, buang ke lantai, tanah
- Hampas kelapa boleh dibuat baja organik.
- Jangan hempas barang permainan itu ke lantai.
- cas = menambah kuasa bateri, elektrik
- caj = bayaran atau upah yang dikenakan
- Jangan cas telefon anda di dalam dorm.
- Pelanggan akan dikenakan caj tambahan jika lewat melaporkan diri.
- rabun = kabur
- rabung = puncak bumbung rumah, barisan bukit
- Pelajar yang menghadapi masalah rabun jauh diminta duduk di bahagian depan kelas.
- Rabung rumahnya rosak teruk dipikul ribut kencang.
- golongan = kelompok atau kumpulan
- gulungan = melipat benda seperti tikar, permaidani
- Golongan muda diseru agar memantapkan jati diri masing-masing.
- Gulungan tikar itu hendaklah disandarkan ke dinding.
- berhemah = berakhlak tinggi, baik, berbudi pekerti
- berhemat = cermat, teliti
- Guru itu ialah seorang yang berhemah dan beliau dipandang tinggi oleh masyarakat.
- Kita mestilah berhemat ketika berbelanja.
- agong = khusus untuk jawatan
- agung = besar, terkemuka, prestij, tinggi
- Yang di-Pertuan Agong berangkat merasmikan majlis.
- Mesyuarat agung PIBG akan berlangsung pada minggu hadapan.
- padan = cocok, sesuai
- padan = lawan, banding
- padam = tidak bernyala, tidak hidup, melenyapkan, menghapuskan
- Wanita itu amat padan dengan saya.
- Kekuatan pasukan Kelantan dengan pasukan Selangor sama padan.
- Jangan padam tulisan saya di papan putih itu.
Comments
Post a Comment