ESEI: LANGKAH MENANGANI KEGAWATAN EKONOMI...!
Langkah-langkah
Untuk Menangani Masalah Kegawatan Ekonomi Yang Melanda Negara Malaysia
Kini,
rakyat Malaysia seperti juga rakyat di negara-negara jiran, iaitu Indonesia dan
Thailand telah dikejutkan dengan satu isu yang sukar dileraikan, iaitu
kegawatan ekonomi yang semakin meruncing berikutan kejatuhan nilai ringgit
berbanding dengan dollar AS. Kejatuhan nilai ringgit ini dikatakan akibat
serangan spekulator mata wang, iaitu George Soros. Hal ini menyebabkan mata wang atau
ringgit kita jatuh secara mendadak semenjak tahun 1997. Hal ini terbukti dengan perbezaan yang
ketara antara nilai ringgit jika dibandingkan dengan dollar AS. Dalam pada itu, negara kita dikatakan sebagai salah sebuah negara Asia yang masih boleh mengawal keadaan ini jika
dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Korea Selatan
yang terpaksa meminjam wang dari Tabung Wang Antarabangsa. Keadaan di Malaysia masih stabil kerana
kerajaan memperuntukkan RM490 billion yang masih ada dalam simpanan kerajaan untuk
membiayai projek-projek pembangunan pada tahun 1998 bagi meningkatkan taraf
ekonomi negara. Di samping itu, rakyat diseru supaya menyokong
tindakan kerajaan dan membantu kerajaan untuk mengatasi masalah ini. Hal ini bersesuaian dengan pantun yang
saya ciptakan ini, iaitu:
Pergi ke
kedai membeli tajak,
Tajak
dibeli di kedai Pak Ali,
Para
pengguna haruslah bijak,
Untuk
menangani krisis ekonomi.
Oleh hal yang
demikian, ketika kerajaan giat berusaha menangani masalah ini, rakyat
seharusnya berdiri teguh dan bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengatasinya. Rakyat juga perlu mengatur langkah dan strategi yang
tersusun untuk membantu kerajaan. Kita mendapati bahawa usaha-usaha itu
telah pun mengeluarkan hasil yang boleh dibanggakan. Rakyat banyak membantu dan seharusnya
kita sebagai rakyat Malaysia membantu kerajaan dengan tidak boros ketika
berbelanja. Oleh hal yang demikian, kita harus merancang perbelanjaan
sebelum membeli sesuatu barangan. Contohnya, kita harus memikirkan sama ada hendak dibeli atau tidak sesuatu barang supaya tidak berlaku pembaziran. Hal ini demikian kerana, pembaziran
merupakan satu punca utama yang boleh mengakibatkan krisis ini menjadi semakin
tenat dan sukar diatasi. Dalam usaha rakyat untuk menangani isu ini, kaum wanita
sebagai suri rumah perlu memainkan peranan ini dengan bijak. Contohnya, mereka boleh membekalkan
anak-anak mereka dengan makanan setiap hari apabila anak-anak mereka hendak ke
sekolah. Kaum wanita juga sebolehnya tidak membeli barang-barang kemas
semasa negara dilanda kegawatan ekonomi. Dengan berjimat dalam perbelanjaan, kita
dapat membantu kerajaan untuk menangani masalah ini.
Seterusnya,
langkah untuk mengatasi krisis kegawatan ekonomi ialah pihak kerajaan wajar mengawal
pengaliran keluar wang negara ke negara lain. Jika sebelum ini, masyarakat Malaysia
gemar melancong ke negara asing, maka sekarang mereka seharusnya melancong di
dalam negara sendiri dan membatalkan rancangan untuk melancong di luar negara. Dengan berbuat demikian, kita dapat
mengelakkan pengaliran mata wang ke negara yang kita lawati kerana salah satu
penyebab dan punca kegawatan ekonomi ialah pengaliran wang yang banyak ke
negara lain. Pengaliran mata wang Malaysia juga dapat dikurangkan
dengan mengurangkan import dan menambahkan eksport. Ini perlu diberi penekanan yang
sewajarnya kepada sektor tertentu seperti sektor perindustrian. Sektor pelancongan negara juga memainkan
peranan penting, terutamanya di kawasan pedalaman yang belum diusahakan
sepenuhnya oleh arus pembangunan. Mereka harus meningkatkan atau meluaskan
promosi ke seluruh dunia untuk menggalakkan pelancong asing datang ke negara
ini. Di samping itu, kita harus meningkatkan eksport negara
yang dapat membantu kerajaan menangani krisis ini dan dapat menambah tabungan
negara.
Selain itu,
rakyat Malaysia yang mempunyai harta atau menyimpan wang di luar negara perlu
menjual harta atau mengeluarkan wang mereka di luar negara dan melabur di
Malaysia. Dengan berbuat demikian, mereka dapat membantu
memulihkan ekonomi negara Contohnya, kita mendapati ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang membeli tanah dan ladang
di Australia dan di New Zealand, dan tidak ketinggalan juga yang menyimpan wang
di Switzerland dan di Singapura. Jadi, jika rakyat mebawa pulang wang mereka yang
dilaburkan di negara asing ke negara ini, maka masalah kegawatan ekonomi yang
dihadapi oleh negara ini dapat diminimumkan segera. Seharusnya, rakyat menyedari hakikat ini
dan membantu kerajaan seperti berakit-rakit ke hulu, berenag-renang ke
tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenag-senang kemudian.
Ditinjau
kepesatan negara dalam pelbagai aspek, terutamanya aspek pendidikan di Malaysia
dari Timur sampai ke Barat dan dari Perlis sampai ke Sabah, kita banyak mempunyai pusat pengajian tinggi, iaitu universiti awam dan universiti swasta. Oleh hal yang demikian, untuk membantu menangani
krisis ini, pengaliran wang keluar dari negara ini haruslah dibendung. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk
menentukan anak-anak mereka supaya menyambung pendidikan tinggi di dalam negara
sendiri dan tidak menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara. Sebagai langkah yang drastik, kerajaan Malaysia telah mengurangkan penghantaran pelajar tajaan ke luar negara dan mereka yang layak hanya ditempatkan di universiti-universiti terkemuka negara sahaja. Hal ini demikian kerana dalam era dunia
sains dan teknologi, Malaysia juga tidak ketinggalan dan bukannya sebuah negara
yang mundur. Malaysia diakui sebagai negara yang berkembang pesat
dalam bidang pendidikan tinggi. Rakyat, terutamanya ibu bapa seharusnya
sedar bahawa pendidikan di Malaysia setaraf dengan dunia luar dan menghantar
anak-anak mereka belajar di dalam negara dan bukannya di luar negara untuk
mengelakkan pengaliran mata wang ke luar negara. Oleh itu, pelajar-pelajar kita yang berada di luar
negara dalam semester akhir disarankan supaya pulang ke tanah air dan
menyambung pelajaran di sini. Penghantaran anak-anak ke luar negara
ini menelan belanja yang banyak dan merugikan negara jika kursus atau jurusan
yang dipelajari itu ditawarkan di Malaysia. Oleh hal yang demikian, seharusnya rakyat
peka dengan saranan kerajaan kerana hal ini dapat membantu bukan sahaja negara,
malahan rakyat negara ini.
Akhirnya, rakyat Malaysia perlu bijak
berbelanja dan lebih mengutamakan barangan tempatan. Kesedaran ini wajar disemai dan dipupuk
dalam sanubari setiap rakyat kerana pembelian barang import akan menyebabkan
pengaliran keluar mata wang negara kita ke negara pengeksport. Oleh hal yang demikian, media massa
memainkan peranan penting bagi mengatasi krisis ini dengan mengadakan kempen
“Belilah Barangan Buatan Malaysia”.Sebenarnya, penduduk Malaysia kini
lebih terpengaruh oleh barangan buatan luar negara, iaitu barangan import
yang dikatakan lebih tahan lama dan berjenama. Sebenarnya,
barangan Malaysia juga berkualiti seperti barangan import. Rakyat Malaysia juga disarankan supaya
jangan terlalu boros ketika berbelanja kerana hal ini akan meningkatkan harga barangan dan
perkhidmatan. Rakyat Malaysia sepatutnya bersama-sama berganding bahu untuk membantu
kerajaan dalam menangani krisis ini. Mereka perlu berpegang pada cogan kata Bersatu Teguh, Bercerai Roboh. Sekiranya kita tidak bersatu, bahu-membahu, dan bersikap seperti enau di dalam belukar, kegawatan ekonomi yang dihadapi negara tidak dapat dipulihkan. Negara akan terus berada dalam keadaan kemunduran ekonomi yang akhirnya mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan rakyat.
Comments
Post a Comment