TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL...!

Soalan : Huraikan pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda kaji.

Contoh jawapan :

Novel yang saya kaji ialah novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Pengajaran yang terdapat dalam novel tersebut ialah kita hendaklah tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan supaya jiwa menjadi tenang. Sebagai contoh, Bujei tabah menghadapi kekejaman Alias terhadapnya seperti memukul, menyepak dan menerajangnya tanpa belas kasihan. Walaupun diperlakukan macam-macam oleh Alias, dia tidak pernah serik.
Pengajaran lain ialah kita hendaklah ikhlas membantu orang lain supaya sifat ego dapat dielakkan. Bukti peristiwa yang memaparkan pengajaran ini ialah Adila ikhlas menolong mengubah perwatakan Bujei. Pada Adila, Bujei hanyalah menjadi mangsa alam dan manusia. Sebenarnya Bujei memiliki kepandaian dan pengetahuan yang luas. Adila yakin mampu mengubah Bujei menjadi manusia yang sempurna semula.

Pengajaran seterusnya ialah kita hendaklah rajin berusaha supaya tidak membebankan orang lain. Sebagai contoh, sebahagian kawasan tanah di hadapan rumah nenek Bujei sudah diterangkannya. Belukar dan semak samun sudah ditebas dan tanahnya sudah digemburkan kerana Bujei ingin menanam sayur-sayuran. 



Soalan : Huraikan peristiwa yang mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri anda berdasarkan novel yang anda kaji.

Contoh jawapan :

Novel yang saya kaji ialah Renyah karya Gunawan Mahmood. Banyak peristiwa yang mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri saya apabila membaca novel tersebut. Antara peristiwa tersebut ialah Datuk Dolhi tabah mengharungi cabaran yang berlaku dalam keluarganya sehingga nama baiknya tercemar gara-gara perbuatan anak-anaknya yang menconteng arang ke mukanya. Peristiwa seperti Hasnol ditangkap kerana melakukan rasuah, Mukhlis terlibat dalam ajaran songsang, Dani terlibat dengan penagihan dadah dan Ilham mengganggu perniagaannya banyak meresahkan datuk Dolhi, tetapi akhirnya Datuk Dolhi berjaya mengharungi permasalahn tersebut dan berharap anak-anaknya mampu menebus kesalahan yang lalu dan berharap masa depan anak-anaknya kembali cerah. Peristiwa ini menimbulkan kesan yang mendalam kepada diri saya kerana kasih sayang antara ibu bapa terhadap anak-anak tidak pernah putus walaupun anak-anak telah mencemarkan maruah keluarga. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kita hendaklah membantu menyelesaikan permasalahan anak-anak supaya kehidupan mereka terjamin. 

Peristiwa lain yang menimbulkan kesan yang mendalam dalam diri saya ialah Datuk Dolhi gigih memperluaskan perniagaannya sehingga ke luar negara dengan mengikut rombongan perniagaan untuk meneliti peluang-peluang yang boleh diteroka bagi melebarkan sayap perniagaannya walaupun usianya sudah meningkat dan menghadapi masalah kesihatan. Peristiwa ini menimbulkan kesan kepada diri saya kerana matlamat tanpa usaha yang gigih tidak akan membawa kejayaan. Walaupun ada kekurangan dalam diri tetapi dengan usaha yang gigih kita mampu untuk mencapai kejayaan sama ada dalam atau luar negara.

Peristiwa Datuk Dolhi mahu orang Melayu mengubah sikap supaya tidak mudah cepat berpuas hati dengan apa yang dimiliki dan mengambil sikap seperti orang Cina mendidik keluarga mereka dalam suasana perniagaan juga menimbulkan kesan kepada diri saya. Hal ini demikian kerana sikap orang Melayu yang cepat berpuas hati akan menyebabkan hasil yang diusahakan tidak akan bertahan lama dan tidak dapat bersaing dengan orang lain yang sentiasa melakukan perubahan. Jika kita ingin berjaya, kita hendaklah melakukan perubahan dari masa ke masa supaya barangan yang dihasilkan akan lebih berkualiti.



Soalan : Huraikan peristiwa yang mampu anda teladani berdasarkan novel yang anda pelajari.

Contoh jawapan :

Novel yang saya pelajari ialah Renyah karya Gunawan Mahmood. Novel ini banyak memaparkan peristiwa yang dapat saya teladani dalam menjalani kehidupan seharian. Peristiwa tersebut ialah Datuk Dolhi lebih suka menggunakan kereta saga limosin baru buatan Malaysia ke majlis-majlis rasmi kerana dia lebih mengutamakan barangan buatan tempatan. Dalam hal berpakaian, dia lebih suka menggunakan batik Kelantan kerana buatannya bermutu tinggi. Peristiwa ini dapat saya teladani kerana kita perlu menggunakan barangan buatan tempatan dalam kehidupan seharian kerana barangan buatan tempatan telah memiliki kualiti yang tinggi dan terbukti mampu bersaing dengan barangan daripada negara luar.

Peristiwa seterusnya ialah Datuk Dolhi meminta isterinya memikirkan semasak-masaknya sebelum membuka butik untuk mengelakkan kerugiaan pada masa akan datang. Padanya daripada rugi, lebih baik wang tersebut dibelanjakan untuk membela anak yatim. Peristiwa tersebut dapat saya teladani dalam menjalani kehidupan seharian kerana kita perlu berfikiran rasional dengan membuat pertimbangan yang wajar sebelum mengambil sesuatu keputusan agar keputusan yang diambil tidak akan membebankan kita kelak. 

Peristiwa lain ialah Hasnol bersikap angkuh terhadap ibunya apabila dia memiliki wang yang banyak hasil daripada perbuatan rasuahnya semasa membayar hutang kepada ibunya. Peristiwa ini memberi teladan kepada saya kerana sebagai anak kita tidak boleh bersikap angkuh dan sombong kepada ibu kerana sikap sedemikian akan memakan diri kita kelak. 



Soalan : Jelaskan kritikan yang berlaku dalam masyarakat berdasarkan novel yang anda pelajari.

Contoh jawapan :


Novel yang saya pelajari ialah novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Dalam novel tersebut, banyak kritikan yang ditujukan kepada masyarakat untuk kita jadikan pengajaran dalam kehidupan. Antara  kritikan tersebut ialah sikap seorang suami yang tidak bertanggungjawab terhadap keluarga. Peristiwa yang menunjukkan kritikan tersebut ialah Harun tidak menjalankan tugasnya sebagai suami yang bertanggungjawab sebaliknya sering meminta wang daripada Fatimah untuk berjudi. Jika isterinya enggan menyerahkan wang tersebut, Harun akan memukul dan menerajang iaterinya tanpa belas kasihan. Sepatutnya sebagai suami, Harun perlu melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan bukannya melepaskan tanggungjawab tersebut. 

Kritikan seterusnya ialah sikap manusia yang tamak terhadap harta anak yatim. Peristiwa yang menunjukkan kritikan tersebut ialah Harun mempengaruhi Sidang Saman supaya memujuk Hafiz menandatangani dokumen untuk menjual tanah pusaka arwah ibunya dan dia sanggup merasuah Sidang Saman agar matlamatnya tercapai. Hal ini menunjukkan ketamakan Harun kerana ingin menjual tanah yang menjadi kepunyaan Bujei yang merupakan anak yatim. Sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab kita perlu membantu anak yatim kerana mereka juga berhak untuk disayangi. 

Ktirikan seterusnya ialah sikap masyarakat yang suka membuli insan yang kurang normal. Kritikan ini dapat ditujukan kepada Alias yang sering memukul, menendang dan menerajang Bujei apabila Bujei enggan melakukan perkara yang dimintanya. Bujei dikehendaki terjun ke dalam sungai dan membenam-benamkan dirinya setiap kali melihat kelibatnya. Perbuatan tersebut tidak patut dilakukan terhadap manusia yang kurang normal seperti Bujei kerana Bujei juga merupakan manusia yang perlu dilayan seperti manusia normal yang lain.

Sumber: Ubah suai daripada Blog Cikgu Azaman

Comments

Popular Posts