TERPEDAYA / TERPERDAYA...!

Soalan BM(1) mengundang masalah lagi. Banyak juga timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa, guru mahupun pelajar yang merupakan calon PMR 2012. Kesilapan seperti ejaan memberikan gambaran bahawa pihak Lembaga Peperiksaan (LP) cuai dalam penyediaan dan penggubalan sesuatu item soalan. Diharapkan pihal LP lebih berhati-hati pada masa hadapan.
Contoh kesilapan ejaan yang terdapat dalam soalan BM(1) ialah penggunaan ejaan bagi kata terperdaya yang dieja sebagai terpedaya dalam soalan…? Kesilapan mudah seperti ini tidak seharusnya berlaku.
Kata terperdaya jika dirujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, muka surat 321, berasal daripada kata dasar ‘daya’ yang bermaksud kekuatan, tenaga, keupayaan dan kemampuan. Maksud ke-2 kata daya ialah akal, ikhtiar, jalan (untuk sesuatu). Kata ‘daya’ juga membawa maksud muslihat, tipu.
Cikgu akan senaraikan maksud kata ‘daya’ yang berlainan bentuk seperti yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Ke-4, iaitu:-
  • daya 1 – kekuatan, tenaga, kemampuan > daya pengeluaran
  • daya 2 – akal, ikhtiar, jalan > seribu daya
  • daya 3 – muslihat, tipu > tipu daya, memperdaya
  • memperdayai – menipu
  • mendayai – menipu, mempengaruhi
  • terdaya – termampu
  • terperdaya – terkena tipu daya
  • kedayaan – kebolehan membuat sesuatu
Selepas dibuat semakan, tidak wujud sama sekali perkataan ‘terpedaya’ dalam helaian muka surat kamus rujukan tersebut. Perkataan yang ada ialah ‘terperdaya’ iaitu kata dasar ‘daya’ digunakan bersama dengan imbuhan awalan ‘ter-’ dan juga ‘per-’ (ter + per + daya > terperdaya).
Ringkaskan cerita, ejaan perkataan ‘terpedaya’ yang terdapat dalam soalan BM(1) PMR 2012 itu SALAH dan sepatutnya ditulis ‘terperdaya’.

Comments

Popular Posts