ESEI: MENANGANI SKIM CEPAT KAYA...!
Skim cepat kaya ialah satu penipuan yang terang-terangan. Walau bagaimanapun, bukan sedikit rakyat negara ini yang terlibat dengan skim ini. Mereka mudah lupa diri apabila disogokkan dengan keuntungan yang berlipat ganda, dalam masa yang singkat pula, walhal itu semua adalah gimik semata-mata. Disebabkan perasaan ingin cepat kaya, mereka sanggup melaburkan sejumlah wang yang banyak kepada pihak-pihak yang penganjur skim dengan harapan akan mengaut keuntungan berlipat kali ganda dalam masa yang singkat. Sesetengah skim cepat kaya menawarkan keuntungan sehingga 30 - 100 peratus keuntungan daripada pelaburan dalam masa sebulan sahaja. Walaupun secara logiknya, tidak ada jenis perniagaan yang boleh memberikan keuntungan sebegitu rupa, namun disebabkan rasa tamak dan haloba menguasai diri serta kelicikan penganjur, akhirnya pelabur-pelabur separuh matang ini tertipu. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Terkini skim pelaburan cepat kaya berbentuk pelaburan dan jual beli emas di internet, pelaburan tanah dan sijil saham koperasi sedang menular dalam kalangan masyarakat.
Antara langkah menangani skim cepat kaya ialah:-
- Pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia dan polis mestilah bertindak pantas membanteras skim cepat kaya yang muncul.
- Tindakan tegas seperti mengenakan hukuman yang berat terhadap penganjur dan juga orang ramai yang terlibat.
- Masyarakat mesti diberikan penjelasan tentang bahaya skim ini serta helah penipuan orang yang tidak bertanggungjawab. - kempen penerangan melalui media massa
- Menggubal undang-undang yang lebih relevan dengan kesalahan yang dilakukan.
- Mekanisme sistem kewangan negara perlu dimantapkan seperti memudahkan prosedur pemberian pinjaman kewangan kepada golongan yang memerlukan.
- Perancangan dan pelaksanaan undang-undang penguatkuasaan wajiblah bersifat tegas dan tanpa mengira masa dan pangkat.
- Penguat kuasa wajar diberikan latihan dan pendedahan terkini untuk meningkatkan kepakaran dan keupayaan membanteraskan segala bentuk skim cepat kaya.
- Pihak swasta seperti bank mestilah memainkan peranan penting dan tidak menjadi ejen dan tali barut skim cepat kaya.
- Kempen penerangan bagi menggalakkan rakyat menyertai skim pelaburan konvensional yang sah perlu digerakkan.
- Mana-mana laman web yang mengendalikan skim cepat kaya mestilah dihalang daripada beroperasi.
- Kakitangan kerajaan yang terlibat perlu dikenakan tindakan tegas seperti buang kerja dan lain-lain.
- Anggota masyarakat mestilah melaporkan kegiatan skim cepat kaya yang muncul kepada pihak berkuasa dengan segera.
- Anggota masyarakat juga perlu lebih bijak dalam membuat keputusan sama ada mahu melabur atau tidak. Gunakan fikiran yang waras bukannya sekadar mengikut atau meniru tindakan pelabur yang bodoh.
- Masyarakat perlu diberikan kesedaran tentang aktiviti perniagaan yang disarankan oleh agama.
Comments
Post a Comment