PENAJA

RAKAN ILMU

Thursday, 10 October 2013

ESEI: PENTINGNYA KEKALKAN BANGUNAN BERSEJARAH...!

Negara kita kaya dengan bangunan bersejarah tinggalan penjajah yang pernah menakluki negara kita hampir 500 tahun lamanya. Portugis, Belanda, British, Jepun kemudian British sekali lagi bersilih ganti menjajah bumi kita selepas kejatuhan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511. Kini telah 56 tahun rakyat Malaysia dapat menghirup udara kemerdekaan dan menikmati kemakmuran serta kesejahteraan negara di samping bersaing mengejar kemajuan di peringkat global. Ketika di bawah naungan penjajah, kita secara paksa disogokkan dengan ideologi dan budaya hidup asing yang ternyata amat bertentangan dengan norma-norma jati diri bangsa sehingga kadang-kadang berjaya juga merobah pemikiran dan cara hidup masyarakat Tanah Melayu pada masa itu.

Pengaruh pemerintahan era penjajah bukan sahaja memberikan impak besar kepada institusi pentadbiran, kemasyarakatan dan perekonomian malah juga berjaya mengubah landskap negara. Bermula dari segi seni bina bangunan, sistem pengangkutan, sistem perhubungan dan seterusnya pendidikan mengalami perubahan yang ketara. Jika kita menyentuh soal seni bina contohnya, kedatangan penjajah menyebabkan begitu banyak rekaan bangunan dan jambatan, serta premis-premis perniagaan yang menerima sentuhan cita rasa dari kaum penjajah. Bangunan-bangunan ini yang kini telah mencecah ratusan tahun usianya secara langsung mampu menjadi aset penting kepada negara.
 
Apakah kepentingan memulihara dan mengekalkan bangunan bersejarah?
CONTOH ESEI:
KEPENTINGAN MEMULIHARA DAN MENGEKALKAN BANGUNAN BERSEJARAH

Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini lebih dikenali sebagai sebuah negara yang sedang membangun. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan kawasan perumahan dibina dengan menggunakan ruang tanah yang luas sedangkan kawasannya amat terhad. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan di kedai kopi sehingga ke sidang di Dewan Parlimen mutakhir ini ialah isu tentang cadangan meruntuhkan bangunan bersejarah tetapi perbincangan itu tiada penyudahnya Walau bagaimanapun, terdapat juga negara-negara yang telah merobohkan bangunan bersejarah seperti yang berlaku di Surabaya, Jakarta. Mengapakah hal seperti ini perlu berlaku? Adakah perlu bangunan yang kaya dengan nilai sejarah tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.



Satu daripada kepentingan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah atau monumen dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 56 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau legenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.



Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas sama sekali kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun jika kita dapat menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal Melaka. Negara kita juga mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah silam negara. Oleh hal itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.



Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen menjadi tarikan pelancong baik pelancong domestik mahupun pelancong dari luar negara untuk bertandang ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan Menara Berkembar Petronas. Oleh hal itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis. Tegasnya, bangunan bersejarah dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.



Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya kepada para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni tak kenal maka tak cinta. Oleh hal itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri dan perlu dipertahankan.



Tuntasnya, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan adanya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang yang lebih tegas..



No comments:

Post a Comment

PROMOSI III