ESEI: PUNCA REMAJA MEROKOK...!
HURAIAN IDEA:-
- Keprihatinan banyak pihak tentang bahaya merokok menyebabkan pelbagai usaha dilaksanakan untuk membendung gejala negatif ini daripada terus mempengaruhi para remaja. Kebanyakan remaja terutamanya pelajar sekolah mengakui bahawa mereka merokok lantaran pengaruh daripada rakan sebaya. Sikap terikut-ikut dengan habit tidak sihat itu seterusnya akan menghanyut mereka sehingga merasakan bahawa merokok itu bukanlah sesuatu yang buruk atau menyalahi etika hidup.
- Tidak kurang juga yang secara jujur mengakui bahawa rasa bosan akan beban tugas sebagai pelajar telah mendorong mereka menghisap rokok. Jika alasan ini dikaji, ternyata kebanyakan pelajar ini merupakan mereka yang malas dan ada yang gagal menguasai kemahiran asas menulis, membaca dan mengira (3M). Oleh hal itu, mereka dengan sewenang-wenangnya menuding jari kepada pihak lain. Ibu bapa menjadi sasaran untuk dikambinghitamkan kerana dikatakan bahawa ibu atau bapa yang merokoklah yang menyebabkan anak-anak mengikut jejak langkah mereka.
- Walaupun kita melihat banyak iklan mahupun kempen larangan merokok dilaksanakan namun remaja tetap remaja. Naluri ingin tahu yang ada pada mereka acapkali mendesak mereka untuk mencuba sesuatu yang ditegah. Naluri ini jika tidak dikawal akan mengakibatkan rasa ketagihan dan rasa seronok apabila dapat menghisap rokok.
- Di Malaysia rokok boleh didapati dengan mudah dan boleh dibeli walaupun hanya sebatang. Fenomena ini menjadikan tabiat merokok semakin berleluasa kerana dengan harga serendah empat puluh sen, pelajar sekolah sudah boleh membeli rokok. Memandangkan betapa longgarnya penguatkuasaan terhadap isu penjualan rokok, kerajaan melalui agensi-agensi yang terlibat mestilah mengambil langkah-langkah pencegahan awal supaya gejala merokok dalam kalangan remaja dapat dibanteras.
- Amatlah malang seandainya remaja beranggapan bahawa mereka akan lebih bergaya dan kelihatan dewasa apabila merokok. Alasan ini ternyata menyimpang dari fakta dan ketagihan merokok sebenarnya mengundang pelbagai penyakit berbahaya.
Comments
Post a Comment