SINOPSIS RENYAH...!


SINOPSIS RENYAH
Novel yang saya kaji ialah novel Renyah karya Gunawan Mahmood. Pada peringkat permulaan cerita,  Datuk Dolhi menghadapi situasi yang meresahkan apabila anak-anaknya tidak berminat menggantikan tempatnya dalam bidang perniagaan yang diusahakan selama ini kerana anak-anaknya lebih berminat dalam bidang lain. Hasnol lebih suka dengan kerjayanya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik manakala Amera komited dengan kerjanya sebagai pendidik. Pada peringkat ini juga digambarkan hubungan Datuk Dolhi dengan Albert Lee yang sangat rapat seolah-olah Albert Lee sudah menjadi keluarganya. Albert Lee menjadi rakan kongsi kepada Datuk Dolhi dalam syarikat Dolhi-Albert Holding. Pernah Albert Lee menyatakan hasrat untuk melamar Amera buat anaknya Robert Lee yang kacak dan cergas membantunya dalam perniagaan. 

Pada peringkat perkembangan, Datuk Dolhi menerima panggilan daripada Wahi yang sedang berada di Jepun. Datuk Dolhi mengingatkan Wahi supaya mempelajari sebanyak mungkin daripada orang Jepun tentang pengurusan, kecanggihan peralatan dan sistem komunikasi. Wahi perlu menimba sebanyak mungkin pengalaman dalam bidang pengurusan di sana. Peristiwa seterusnya ialah Hasnol datang ke rumah orang tuanya seorang diri. Datuk Dolhi menanyakan hasratnya supaya Hasnol meletak jawatan untuk menggantikannya nanti. Hasnol keberatan kerana risiko yang bakal diterimanya, lagipun dia sayangkan pencennya. Isteri Hasnol, Linda pula lebih sukakan Hasnol bekerja sebagai pegawai kerajaan.

Pada peringkat perumitan, Datuk Dolhi kecewa dengan anaknya Ilham yang menyinggung perasaannya kerana beria-ia membela hutan belantara sedangkan cabang perniagaannya adalah kegiatan pembalakan. Ilham menuduh ayahnya sengaja menutup pandanganya akan kesan kemusnahan hutan demi wang. Datuk Dolhi tidak puas hati kerana dengan wang itulah beliau dapat membesarkan anak-anaknya. Selain itu, Datuk Dolhi terkejut apabila diberitahu melalui telefon oleh rakan anaknya bahawa Mukhlis telah bernikah dengan janda Tuk guru. Datuk Dolhi seolah-olah tidak percaya akan perbuatan anaknya itu yang tidak lagi berfikir sebagai seorang intelek meskipun pernah memasuki menara gading.

Pada peringkat puncak cerita, suasana menjadi gempar di rumah Datuk Dolhi pada malam itu apabila dia mengisytiharkan bahawa Wahi ialah anaknya daripada isteri kedua. Datin Tominah menangis dan anak-anaknya yang lain seolah-olah tidak mempercayainya.

Akhir sekali pada peringkat peleraian cerita, Datuk Dolhi berasa lega setelah rahsianya selama 28 tahun telah diluahkan. Hubungan Datuk Dolhi dengan Datin Tominah menjadi renggang. Pada mulanya Datin Tominah mengambil sikap konfrantasi dengan suaminya seperti tidak menghiraukan makan dan pakai suaminya, tetapi semuanya dapat ditangani oleh Datuk Dolhi. Seterusnya Datuk Dolhi berehat-rehat di anjung rumah. Dia berasa lega sekarang kerana tidak perlu memikirkan hal saham, tender dan masalah kakitangan. Wahi telah dinamakan sebagai penggantinya di syarikat Dolhi-Albert Holding manakala isterinya, Yuka ditugaskan di bahagian sumber manusia dan dijangka boleh menerapkan kaedah pengurusan Jepun dalam syarikatnya.

Sumber: Blog Cikgu Azaman

Comments

Popular Posts