ESEI: SESAT DI HUJUNG JALAN, KEMBALI KE PANGKAL JALAN...!
Soalan:
- Huraikan pendapat anda tentang peribahasa "sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan."
Masyarakat Melayu tidak boleh dipisahkan dengan pelbagai unsur bahasa puitis yang mengandungi pelbagai elemen pengajaran serta pendidikan dalam kehidupan seharian mereka. Banyak pendapat mengatakan bahawa ungkapan peribahasa yang diguna pakai telah memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan budaya hidup masyarakat Melayu. Peribahasa yang mengandungi pelbagai elemen pengajaran, kiasan, teladan dan nasihat ini amat popular terutamanya dalam kalangan generasi tua.
Begitulah halnya dengan peribahasa "sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan."
Peribahasa sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan bermaksud seseorang yang telah terlanjur melakukan sesuatu yang buruk, ia hendaklah segera bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan itu lagi. Melakukan sesuatu yang buruk sama ada secara sedar mahupun di luar kawalan bukan sahaja akan memberikan impak negatif terhadap tuan empunya diri, malah yang lebih teruk lagi boleh mendatangkan keburukan kepada keluarga, masyarakat serta negara. Kata orang, bumi mana yang tak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora?
Dewasa ini, banyak perlakuan yang negatif dan tidak bermoral dilakukan oleh anggota masyarakat terutamanya golongan remaja. Kes membuang bayi, penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, budaya lepak, bersekedudukan, ponteng sekolah, derhaka terhadap ibu bapa, tidak menghormati orang tua semakin menular dalam kalangan remaja. Remaja perlu sedar betapa kegiatan yang tercela itu boleh mendatangkan keburukan kepada diri sendiri dan yang paling ditakuti ialah balasan Allah yang maha perit sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Jalan yang terbaik yang wajar diambil oleh remaja adalah dengan menginsafi segala kesalahan dan bertekad untuk tidak melakukannya lagi
Golongan dewasa juga tidak boleh lari daripada bertanggungjawab atas apa-apa yang dilakukan oleh golongan remaja. Golongan dewasa yang terdiri daripada para ibu bapa, pemimpin masyarakat dan peminpin negara juga sepatutnya menyalahkan diri masing-masing kerana gagal mendidik remaja menjadi manusia yang cemerlang terutamanya dari segi sahsiah dan kerohanian. Golongan dewasa perlu juga kembali ke pangkal jalan, menginsafi kelemahan diri dan berazam untuk menjadi manusia yang lebih bertanggungjawab kepada anak-anak remaja mereka.
Kesimpulannya, peribahasa sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan ini hendaklah difahami maksudnya serta menjadi keutamaan kita dalam membetulkan segala kesilapan dan kelemahan semoga kehidupan kita menjadi lebih sempurna dan diredai Allah. Semua pihak sama ada ibu bapa, ketua masyarakat, pemimpin dan juga remaja wajib bahu-membahu dalam mengatasi segala kepincangan sosial yang berlaku selaras dengan maksud peribahasa sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan.
( 360 patah kata )
Comments
Post a Comment