ESEI: SURAT RASMI...!

Pasukan Kadet Bersatu Malaysia yang anda sertai di sekolah akan mengadakan perkhemahan tahunan pada masa cuti sekolah. Tulis sepucuk surat kepada pengetua sekolah untuk memohon kebenaran di samping menjelaskan tujuan program tersebut diadakan.
Sediakan surat itu selengkapnya.

Pasukan Kadet Bersatu Malaysia,
SMS. Tengku Muhammad Faris Petra,
16100 Kota Bharu.
_________________________________________________________________________________________

Tuan Pengetua,
SMS. Tengku Muhammad Faris Petra,
16100 KOTA BHARU.                                                                                      
            22 JULAI 2013.

Tuan,
Memohon Kebenaran Mengadakan Aktiviti Perkhemahan pada 20 - 22 Ogos 2013

Pada minggu lepas Jawatankuasa Pasukan Kadet Bersatu Malaysia, SMS. Tengku Muhammad Faris Petra telah mengadakan mesyuarat bagi mengadakan aktiviti perkhemahan tahunan pada masa cuti persekolahan ke-2 nanti.

2.          Berdasarkan keputusan mesyuarat tersebut, jawatankuasa telah mencadangkan tarikh perkhemahan tersebut seperti butiran di bawah:
             2.1   Tempat              : Kem Bukit Baka, Machang
             2.2   Tarikh                : 20 - 22 Ogos 2013
             2.3   Bil. Peserta        : 40 orang
             2.4   Guru Pengiring   : En. Mohamad Azemi bin Zawawi
                                                            En. Aziman bin Ibrahim
                                                            En. Fadzil bin Razak

3.        Objektif utama kami menganjurkan aktiviti perkhemahan tahunan ini adalah untuk mempraktikkan segala ilmu ketenteraan yang dipelajari semasa perjumpaan aktiviti mingguan di sekolah. Selama ini para ahli kadet telah didedahkan dengan latihan kawad kaki dan senjata, membina khemah dan tapak perkhemahan, ilmu memasak di hutan dan lain-lain lagi. Melalui aktiviti ini ahli-ahli dapat mengasah kemahiran yang dimiliki serta dapat menambahkan pengetahuan baharu. 

4.       Selain itu, aktiviti perkhemahan juga diharapkan dapat mendidik para ahli hidup lebih berdikari. Kebiasaannya, segala urusan mereka ini dibantu oleh ahli keluarga dan tabiat sering mengharapkan pertolongan orang lain ini ditakuti menjadikan mereka malas berusaha. Mereka sepatutnya memiliki sikap seperti jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

5.       Seperkara lagi, lebih lima puluh peratus peserta perkhemahan ini akan mewakili pasukan kadet sekolah dalam pertandingan kecekapan peringkat kebangsaan pada hujung tahun ini. Hal ini demikian akan memberikan latihan awal kepada mereka membiasakan diri dalam situasi perkhemahan kerana alah bisa, tegal biasa. Pengalaman yang diperoleh diharapkan dapat membantu mereka mempersiapkan diri dalam usaha untuk mengharumkan nama sekolah pada peringkat kebangsaan nanti.

6.       Segala urusan berkaitan kebenaran ibu bapa, kerjasama dengan Unit Kadet Bersatu Negeri Kelantan, memohon kebenaran pihak polis dan sebagainya akan diuruskan setelah mendapat kelulusan daripada pihak tuan.

7.         Atas perhatian dan pertimbangan pihak tuan, saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.
Sekian, terima kasih.


Yang benar,

MohdAli
(MOHAMAD ALI BIN DOLLAH)
Setiausaha,
Pasukan Kadet Bersatu Malaysia,
SMS. Tengku Muhammad Faris Petra,
16100 Kota Bharu.
           (235 patah perkataan)

Comments

Popular Posts