IMBUHAN meN- ...!

Dalam bahasa Melayu, antara imbuhan yang tinggi kekerapan penggunaannya ialah imbuhan kata kerja meN-.  Daripada kekerapan yang tinggi itu, banyak pula kesalahan penggunaannya dan kesalahan ejaan yang dapat ditemukan. Maksud N dalam awalan meN- itu ialah bentuk nasal yang menjadikan kelainan meN- seperti mem-, mem-, dan meng- bentuk nasal juga. Terjadinya demikian itu bergantung pula bunyi huruf pertama dalam kata dasar yang akan bergabung dengan meN-.  Jikalau kata dasar bermula dengan huruf d, iaitu  letupan gusi, maka nasal yang akan digunakan juga merupakan nasal gusi,  iaitu n, menjadikan awalan itu men-. Awalan meN- ialah awalan yang membentuk kata kerja aktif sama ada kata kerja transitif atau tak transitif.
Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi  Baharu, awalan meN- ini mempunyai empat bentuk kelainan, bergantung pada  bunyi huruf pertama kata dasar yang bercantum dengannya. Kelainan yang  dimaksudkan itu ialah me-, mem-, men-, dan menge-. Men- menjadi me- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan bunyi huruf m, n, ny, ng, r, l, w, dan y. Contohnya: memasang, menanti, menyanyi, menganga, meratakan, melempar, mewariskan, dan meyakinkan.  Kata dasar bahasa Melayu yang bermula dengan bunyi huruf, k, s, p, dan t  juga menerima awalan me- ini. Dalam hal ini, huruf pertama dalam kata dasar menjadi bentuk sengau yang sama daerah artikulasinya , iaitu m bagi  p, n bagi t, ng bagi k, dan ny bagi s, seperti dalam contoh yang berikut: mengasih (kasih), menyalin (salin), memesan (pesan), dan menari (tari),
Men- menjadi mem- pula apabila bergabung dengan perkataan yang bermula  dengan bunyi huruf b, dan perkataan serapan (pinjaman) yang bermula dengan  bunyi huruf f, p dan v, gugus konsonan yang bermula dengan bunyi b dan p.  Contohnya : membawa, membalas, membeli, dan lain-lain seumpamanya.     
Daripada kata bahasa serapan, seperti bahasa Inggeris, terbit bentuk  memveto (veto), mempopular (popular). Daripada bahasa Arab kita temukan  perkataan (fitnah), memfatwa (fatwa), dan daripada bahasa Jawa:  mempamerkan. Kemudian daripada gugus konsonan kita temukan pula  perkataan-perkataan seperti memproses (proses), memplagiat (plagiat),  memblok (blok), dan membrek (brek).MeN- menjadi meng-, dan bergabung dengan dasar yang bermula dengan  huruf-huruf konsonan g (menggulung), gh (mengghaibkan), kh  (mengkhayalkan), dan h (menghantar) dan bunyi-bunyi vokal a (mengambil),  (mengelak), i (mengikat). o (mengolah), dan u (mengulit).
Di samping meng-, terdapat juga bentuk menge-. Banyak juga orang keliru dengan bentuk menge- ini. Bila menge- ini digunakan? Sebenarnya, meng- menjadi menge- apabila awalan ini bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada perkataan satu suku kata atau ekasuku. Contohnya,  perkataan-perkataan cat, had, khas, lap, sah. Kesemua perkataan yang  tersenarai itu boleh bergabung dengan menge- membentuk kata terbitan  seperti mengecat, mengehad, mengekhas, mengelap, dan mengesah. Bentuk-bentuk mengecat, mengehad, dan lain-lain seumpamanya itu tidak  terdiri daripada kata dasar *ecat, *ehad, *ekhas, *elap dan *esah yang  telah menerima awalan meng-. Bunyi e pepet yang ditambahkan kepada awalan  meng- menjadi menge- berfungsi melembutkan sebutan perkataan-perkataan  tersebut. Cubalah amati sebutan bunyi antara *mebom / membom / menbom /  mengbom dengan mengebom, atau bunyi *mehad/ *memhad / *menhad / *menghad  dengan bunyi mengehad; ternyata sebutan bunyi mengebom dan mengehad lebih halus daripada bunyi bentuk yang lain yang bersifat agak kasar atau  mengejut.

Sumber: Minda Bahasa

Comments

Popular Posts