NOVEL BUKAN DUNIAKU....!
SINOPSIS
Halim, seorang remaja yang baru berusia 15 tahun, bekerja sebagai pencuci kereta untuk ketua sindiket haram,iaitu Abang Joe. Kesemua wang hasil kerjanya diserahkan kepada lelaki itu. Abang Joe memeras tenaga remaja yang tidak berumah atau yang lari dari rumah. Dia mengugut mereka supaya melakukan kerja-kerja haram seperti mencuci kereta dan menjaga petak letak kereta.
Halim dan rakan-rakan yang senasib dengannya ditempatkan di sebuah pondok usang. Di situlah mereka menghabiskan masa pada waktu malam. Halim merebahkan badannya yang lesu akibat melakukan kerja paksaan. Halim bermimpi bahawa dia bertemu dengan ibunya. Dalam mimpi itu, ibu Halim memberitahu Halim bahawa ayahnya amat marah atas tindakan Halim lari dari rumah. Halim menjerit-jerit. Saleh mengejutkan Halim. Saleh berkongsi kisah hidupnya dengan Halim. Saleh terpaksa berhenti sekolah kerana keluarganya hidup susah dan ayahnya tidak mampu menanggung belanja persekolahannya. Saleh ke bandar dengan niat untuk mencari pekerjaan bagi membela nasib mereka sekeluarga. Malangnya, Saleh menjadi mangsa Abang Joe. Saleh pernah diugut dan dipukul kerana cuba melarikan diri. Halim bersimpati akan nasib yang menimpa Saleh.
Seterusnya, Halim berkenalan dengan seorang pemuda yang bernama Fariz. Fariz bertanyakan latar belakang Halim. Bagi Fariz, remaja seperti Halim sepatutnya masih bersekolah. Halim tidak berani berterus terang kepada Fariz tentang keadaan dirinya. Hal ini demikian kerana Halim bimbang kalau-kalau Fariz merupakan orang bawahan Abang Joe. Oleh sebab itu, Halim telah berbohong kepada Fariz. Halim memberitahu Fariz bahawa dia tidak mampu ke sekolah kerana dia orang susah dan terpaksa bekerja untuk membantu ayahnya yang kurang upaya.
Hubungan saleh dengan Halim semakin akrab. Saleh meminta Halim menceritakan perkara sebenarnya sehingga dia terperangkap di pondok usang itu. Halim pun mula bercerita. Halim mengimbas kembali peristiwa dia lari dari rumah. Halim berkecil hati atas sikap ayah dan ibunya. Halim berasa sangat kecewa apabila ayah dan ibunya terlupa akan hari jadinya. Bagi Halim, ayah dan ibunya terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikannya. Halim nekad untuk keluar dari rumah. Ketika merayau-rayau di ibu kota, Halim hampir-hampir disamun tetapi dia telah diselamatkan oleh Abang Joe. Walau bagaimanapun, Abang Joe bukanlah sebaik yang disangka oleh Halim. Halim kesal kerana bertindak terburu-buru.
Pada suatu hari, Halim telah dipukul oleh konco-konco Abang Joe kerana Abang Joe tidak suka Halim berhubung dengan orang luar. Dia bimbang rahsianya mengedar dadah terbongkar. Saleh yang menemani Halim ke sarang penyembunyian dadah dan ganja itu turut dipukul dengan teruk. Namun begitu, akhirnya Abang Joe dan konco-konconya telah ditangkap oleh polis. Fariz yang kononnya seorang kerani di syarikat swasta sebenarnya ialah pegawai polis dari bahagian narkotik dan jenayah. Halim dan kawan-kawannya yang menjadi mangsa Abang Joe kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. Halim mengutus surat kepada Saleh dan memberitahu kawan baiknya itu bahawa ayahnya akan menanggung belanja persekolahan Saleh.
Ubah suai daripada Blog Cikgu Diela
Ubah suai daripada Blog Cikgu Diela
Comments
Post a Comment