PENAJA

RAKAN ILMU

Saturday, 27 July 2013

ESEI: LANGKAH MENJADI PELAJAR CEMERLANG...!


Tidak dapat dinafikan bahawa setiap pelajar pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya pelajar-pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang sangat sukar untuk dicapai sekiranya pelajar itu sendiri mempunyai iltizam dan keazaman yang tinggi  untuk mencapainya. Pelajar-pelajar  tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaan mampu menjamin masa hadapan seseorang pelajar yang lebih gemilang. Oleh hal itu, pelajar-pelajar janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, jika asyik mengabaikan pelajaran, bak kata orang tua-tua, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Sebagai seorang pelajar,  saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan itu nanti?

Langkah yang pertama yang akan saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan adalah dengan sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di bilik darjah. Apabila saya memberikan perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar, sudah tentulah sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar disebabkan faktor memberikan sepenuh tumpuan ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Saya juga akan terlibat secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan agar fikiran saya tidak mengelamun jauh semasa guru mengajar. Saya juga juga akan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan dalam pelajaran. Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang saya fahami kerana berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan yang telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka. Tegasnya, memberikan  tumpuan ketika guru-guru sedang mengajar dan dengan menyiapkan segala kerja rumah merupakan salah satu langkah dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

            Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan berkualiti. Saya akan menyediakan jadual waktu belajar dan cuba mengikutinya dengan jujur sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa secara berkualiti agar kita akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikuti jadual waktu belajar yang telah saya tetapkan dengan jujur, pasti saya tidak akan menggelabah ketika peperiksaan menjelang tiba. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal. Manakala, pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka terlalu leka membuang masa dan tidak berpegang kepada pepatah masa itu emas dan masa yang berlalu tidak akan kembali, maka mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk sebelum tiba peperiksaan. Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan membuatkan saya lebih bersedia menghadapi sesuatu peperiksaan.

            Pada waktu yang sama, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya akan memperbanyak aktiviti mengulang kaji pelajaran secara berterusan. Ungkapan yang dipetik daripada bahasa Inggeris iaitu, 'practice makes perfect' sesusai dipraktikkan. Kalau ungkapan ini ditukarkan ke dalam bahasa Melayu, maka ungkapannya akan menjadi, “praktis asas kecemerlangan”. Kedua-dua ungkapan ini membawa maksud yang sama iaitu jikalau seorang itu membuat latihan yang banyak maka dia akan mencapai kecemerlangan dalam apa-apa jua bidang. saya akan membuat latihan bagi setiap mata pelajaran setelah selesai mengulang kaji sesuatu topik. Hal ini kerana saya akan lebih menguasai sesuatu topik dan secara tidak langsung saya akan biasa dengan jenis-jenis soalan yang akan ditanya dalam peperiksaan. Saya juga akan membuat ulang kaji secara berterusan bak kata pepatah  sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain dan  sedikit-sedikit , lama-lama jadi bukit. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan saya akan membuat ulang kaji secara berterusan untuk memastikan saya tidak akan ketinggalan dalam pelajaran dan terutamanya dalam mata pelajaran Sains. Tegasnya, saya akan membuat latihan yang banyak dan jika saya mengulang kaji pelajaran secara berterusan, pasti saya akan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.

Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanyakan guru-guru di sekolah, bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya juga perlulah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di sekolah kerana bak kata pepatah malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Malahan, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di bilik darjah. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu diajar dua kali, maka saya akan lebih mudah memahami dan saya juga akan lebih menguasai sesuatu topik itu. Contohnya, di sekolah diajar topik yang sama seperti yang telah diajar di pusat tuisyen terlebih dahulu, maka saya akan lebih faham. Di samping itu, saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan-soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam program-program sekolah dan mengikuti kelas-kelas tuisyen juga merupakan langkah bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Langkah yang berikutnya ialah saya akan bersikap sabar, tabah dan tidak mudah berputus asa. Saya tidak akan cepat mengalah apabila saya gagal dalam sesuatu buat kali pertama dan kedua, malah saya akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk lulus dalam sesuatu perkara kerana saya berpegang pada prinsip, gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya. Saya juga akan tabah apabila terdapat apa-apa masalah atau cabaran yang saya hadapi. Seorang ternama pernah menyatakan bahawa jika seseorang itu berjaya dalam hidupnya, tentu dia telah menempuhi beberapa kali kegagalan kerana untuk mencapai sesuatu tentu ada kekangan dan halangan. Contohnya, jika saya gagal mendapat penyelesaian untuk sesuatu soalan, saya tidak akan putus asa, malah saya akan mencuba beberapa kali sehingga saya mendapat penyelesaiannya. Tegasnya, saya perlu bersikap sabar, tabah dalam menghadapi halangan dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan saya tidak akan mudah berputus asa untuk memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan.

Akhir sekali, saya juga akan mematuhi segala nasihat kedua-dua orang ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa kepada Allah. Kata orang tua-tua, Allah hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa, Kenyataan ini pasti benar kerana orang-orang tua mempunyai pengalaman yang luas. Saya akan sentiasa patuh akan nasihat dan tunjuk ajar ibu bapa kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu. Malah, saya juga akan sentiasa berdoa kepada Allah supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua orang ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Allah atas segala pemberian-Nya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah yang telah saya tulis dalam beberapa perenggan di atas. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa depan saya lebih terjamin dan cemerlang. Justeru, saya akan belajar lebih berungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.

Ubah suai dan pembetulan daripada karangan pelajar.

4 comments:

  1. thaks sebab bagi petunjuk buat karangan niy.. :')

    ReplyDelete
  2. Karangan yang cemerlang 💓 terima kasih kerana telah byk membantu sy

    ReplyDelete
  3. Karangan yang cemerlang 💓 terima kasih kerana telah byk membantu sy

    ReplyDelete

PROMOSI III