ESEI: SAMBUTAN HARI RAYA DI TEMPAT SAYA...!


SOALAN:-
  • Hari raya Aidilfitri disambut umat Islam setahun sekali selepas mengerjakan ibadat puasa wajib bulan Ramadan. Sudah pasti sambutannya amat meriah. Cuba ceritakan bagaimanakah sambutan Aidilfitri di tempat anda.
PENDAHULUAN:-
  • Hari raya Aidilfitri pada tahun 2013 jatuh pada hari Khamis, 8 Ogos 2013 bersamaan dengan 1 Syawal 1434H.
  • Aidilfitri menandakan selesainya umat Islam mengerjalan ibadat puasa Ramadan selama sebulan.
  • Aidilfitri juga merupakan hari kemenangan umat Islam melawan segala dugaan dan cabaran ketika berpuasa pada bulan Ramadan.
  • Pelbagai cara sambutan yang dilakukan umat Islam ketika menyambut Aidilfitri, begitulah juga sambutan yang berlangsung di tempat saya.
IDEA-IDEA PENTING:-
  • Kebiasaannya pada setiap malam bulan Ramadan, umat Islam akan mengerjakan ibadat solat sunat Terawih dan Witir, namun pada malam hari raya Aidilfitri, takbir memuji keesaan Allah mula berkumandang, Allah hu Akhbar, Allah hu Akhbar...... di masjid-masjid, di corong-corong radio, dk skrin-skrin televisyen dan sebagainya.
  • Serentak dengan itu golongan kanak-kanak dan sesetengahnya remaja mula membakar bunga api dan mercun. Keadaan menjadi riuh-rendah ibarat bahana perang Arab-Israel lagaknya.
  • Kaum ibu dibantu anak-anak sibuk di dapur menyiapkan juadah untuk hidangan pada pagi hari raya, pastinya ketupat lemang, kuah sate dan rendang menjadi keutamaan. Di samping juadah tradisi, masyarakat Islam di tempat saya juga tidak lupa untuk menyediakan hidangan lain seperti nasi lemak, nasi beriani, bihun goreng, serbaneka biskut, kek dan pemanis mulut.
  • Pada pagi hari raya, masyarakat Islam di tempat saya bersiap untuk ke masjid kerana mengerjakan solat sunat Aidilfitri sambil melafazkan takbir memuji kebesaran Allah s.w.t.
  • Selepas solat sunat Aidilfitri, kami bersalam-salaman memohon maaf zahir dan batin antara jemaah yang hadir. Semua umat Islam kelihatan ceria mengenakan sepasang baju tradisi Melayu, yang lelakinya berbaju Melayu lengkap bersampin serta bersongkok, yang perempuan pula berbaju kurung, bertelekung dan ada yang berselendang.
  • Setelah selesai mengerjakan solat sunat Aidilfitri, kami pulang ke rumah masing-masing. Namun ada juga yang terus singgah ke rumah jiran tetangga berhari raya dan menikmati juadah enak pada hari raya pertama.
  • Di rumah masing-masing, kami bersiap sedia untuk menerima kunjungan tetamu dan meraikan sambutan hari raya bersama-sama.
  • Amalan kunjung-mengunjung sesama jiran tetangga menjadi amalan tradisi masyarakat Islam di tempat saya. Sambil menikmati juadah yang dihidang, kami saling bermaafan dan bertanya khabar. Yang kanak-kanak pula mengambil kesempatan mengumpul 'duit raya'.
  • Kami sekeluarga pula, selepas meraikan tetamu yang berkunjung, bersiap sedia dengan sedikit buah tangan bergegas ke rumah datuk dan nenek untuk beraya di sana pula. Beruntung kami kerana jarak rumah kami dengan rumah datuk dan nenek hanyalah sekangkang kera.
  • Sambutan pada hari kedua Aidilfitri juga hampir sama, rumah terbuka masih diteruskan. Pada hari ini juga ramai umat Islam di tempat saya mengunjungi kawasan perkuburan untuk melawat kubur sanak-saudara yang telah meninggal. Bacaan Yaasin dan al-Fatihah disedekahkan kepada roh si mati.
  • Pada hari raya kedua dan ketiga, kami mula membuat kunjungan hari raya ke rumah-rumah sanak-saudara yang agak jauh jaraknya. Ada juga antara kami yang balik kampung melawat sanak-saudara. Kesempatan ini juga ada sesetengah daripada kami yang membuat kenduri kahwin, kenduri kesykuran dan sebagainya.

Comments

Post a Comment

Popular Posts