MERINGKAS / PEMAHAMAN...!

Bahagian A
[Masa yang dicadangkan: 40 minit]
[20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang faedah menabung. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah kata. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

               Kita sering diuar-uarkan bahawa menabung merupakan amalan yang mulia. Namun, masih ramai yang tidak menyedari betapa pentingnya tabiat menabung dalam kehidupan. Sebenarnya, menabung mempunyai pelbagai faedah yang mengagumkan. Pelbagai kaedah menabung boleh dilakukan mengikut keperluan, kemampuan dan keselesaan seseorang.
               Bidalan sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit menjelaskan betapa tabungan yang sedikit jika ditambah setiap hari akan mendatangkan pulangan yang besar. Tabungan dapat membantu seseorang individu membeli aset seperti kereta dan rumah untuk keselesaan peribadi dan keluarga. Keluarga yang bahagia, antara lain perlulah kukuh dari segi kewangannya. Amat merugikan jika keluarga menjadi porak-peranda kerana masalah kewangan. Oleh hal itu, salah satu cara untuk menuju ke arah kestabilan ekonomi keluarga adalah dengan menabung.
               Untuk jangka masa yang lebih panjang, tabungan amat diperlukan untuk menyediakan sumber kewangan kepada anak-anak yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sekurang-kurangnya, dengan menabung tiadalah lagi anak-anak yang tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana tiada wang untuk membiayai yuran pengajiannya. Kesedaran ibu bapa pada hari ini akan meringankan beban mereka pada masa depan.
               Menabung juga bukan semata-mata untuk hari ini. Menabung sebenarnya ibarat payung yang disediakan sebelum hujan. Justeru, tabungan hari ini dapat membantu kehidupan yang jauh lebih mencabar apabila usia semakin lanjut. Misalnya, apabila menghidap penyakit kronik dalam usia 50-an. Penyakit ini memerlukan belanja perubatan yang besar, yang tidak tertanggung oleh anak-anak. Oleh hal itu, dengan adanya tabungan peribadi, sekurang-kurangnya kita tidak membebankan orang lain.
               Selain itu, tabungan juga membantu kita jika berlaku kecemasan sama ada dalam kehidupan seharian atau pada masa depan. Kecemasan seperti kematian atau kemalangan hakikatnya memerlukan wang untuk menguruskannya. Jika tiada tabungan, maka hal ini akan lebih tragis daripada sepatutnya. Bagi yang berminat untuk berniaga, tabungan dapat dijadikan modal untuk memulakan sesuatu perniagaan.
               Kesimpulannya, tabiat menabung boleh direalisasikan dengan mudah seandainya wujud kemahuan dalam diri seseorang individu. Wujudnya pelbagai jenis tabungan mutakhir ini, dapat membantu pengguna memilih bentuk tabungan yang sesuai dengan diri sendiri.

(Diubah suai daripada Bahasa Melayu Format Pentaksiran LPM)

CONTOH RINGKASAN:-

       Pelbagai faedah yang akan kita peroleh melalui aktiviti menabung. Antaranya, menabung dapat membantu seseorang membeli aset untuk keselesaan peribadi dan keluarga. Selain itu menabung dapat menyediakan kewangan kepada anak-anak yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Seterusnya menabung boleh membantu kehidupan yang lebih mencabar apabila usia semakin meningkat. Di samping itu, menabung juga boleh membantu kita jika berlaku kecemasan dalam kehidupan seharian mahupun pada masa hadapan. Bagi yang berminat dengan perniagaan, tabungan dapat dijadikan modal untuk memulakan perniagaan. Akhir sekali aktiviti menabung merupakan cara terbaik untuk menjamin kestabilan ekonomi keluarga.
[ 88 patah perkataan]

Bahagian A (ii): Pemahaman
[10 markah]

Berdasarkan petikan Bahagian A, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1.            Berikan maksud frasa sering diuar-uarkan.
[2 markah]

2.            Apakah faktor utama yang dapat menggalakkan seseorang itu menabung?
[4 markah]

3.            Pada pendapat anda, apakah dua aktiviti yang akan anda laksanakan untuk menjayakan kempen menabung di sekolah.
[4 markah]

CONTOH JAWAPAN PEMAHAMAN:-

  1. Maksud frasa sering diuar-uarkan ialah selalu diwara-warakan..
  2. Antara faktor yang menggalakkan seseorang itu menabung adalah untuk membeli aset, membiayai  pendidikan tinggi anak-anak, sebagai persediaan menghadapi kes kecemasan dan boleh menjadi modal  untuk memulakan perniagaan.
  3. Pada pendapat saya, aktiviti yang boleh saya lakukan untuk menjayakan kempen menabung di sekolah adalah dengan memberikan penerangan yang mendalam tentang kebaikan menabung kepada golongan sasaran. Satu lagi aktiviti yang akan saya laksanakan adalah dengan mengadakan pertandingan menabung antara pelajar, pelajar yang paling banyak menabung dalam seminggu contohnya, akan mendapat hadiah.

  



Comments

  1. ini 88 patah perkataan,bukan ke sepatutnya 80 patah perkataan je ke?

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts