HARAPKAN PEGAR, PEGAR MAKAN PADI...!

'Harapkan pagar, pagar makan padi' begitulah bunyi peribahasa yang sering kita gunakan untuk menggambarkan keadaan seseorang yang diharap atau menjadi harapan kita, telah mengkhianati kita. Peribahasa ini juga membawa maksud ketidakjujuran seseorang yang diberikan tugas atau amanah untuk menjalankan sesuatu tanggungjawab.
Contoh penggunaan peribahasa ini dalam ayat adalah seperti:-
  • Pak Ali yang diberikan amanah untuk menjaga harta anak yatim itu telah menghabiskannya untuk kesenangan diri sendiri, ibarat harapkan pagar, pagar makan padi.
Pada kesempatan ini cikgu ingin berkongsi pandangan tentang peribahasa yang dibincangkan di atas. Biasanya setiap peribahasa yang dicipta oleh masyarakat Melayu dahulukala berkait rapat dengan unsur alam yang terdapat di sekeliling mereka serta kejadian-kejadian yang  berlaku yang kemudiannya dijadikan bahan perbandingan, sindiran, pendidikan dan sebagainya. Contohnya, apabila mereka melihat situasi bulan purnama yang dipagari bintang yang cantik pemandangannya, maka apabila hendak menyatakan kecantikan seseorang perempuan, lahirlah peribahasa 'bagai bulan dipagari bintang' untuk menggambarkan kecantikan seseorang perempuan.

Kemusykilan yang timbul di sini, benarkah orang dahulukala berpendapat atau melihat peristiwa pagar, iaitu benda yang tidak bernyawa itu boleh memakan padi ? Apakah tiada benda atau unsur alam lain yang boleh menggantikan kata 'pagar' dalam peribahasa tersebut. Atau adakah mungkin generasi kita yang silap memahami peribahasa yang diungkapkan mereka. Atau mungkinkah kata 'pagar' itu sebenarnya 'pegar' yang diungkapkan mereka?

Merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4, pada muka surat  1189, perkataan 'pegar' bermaksud ayam atau sejenis burung tatera. Jadi, jika pegar itu ialah sejenis burung, maka adalah lebih sesuai kerana memang sifat seekor burung yang gemar memakan bijiran seperti padi. Tidak seperti 'pagar', manakan boleh memakan padi?
Pada pendapat cikgu, peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi yang sedikit lucu bunyinya ditukar menjadi harapkan pegar, pegar makan padi.

Comments

  1. Ya, saya setuju..sama juga dgn peribahasa 'merah padam'..apa maksud 'padam' dlm peribahasa ini....?..kalau dah padam, warna apa yg tinggal?..lebih sesuai 'merah padma'..'padma' ialah sejenis bunga yg berwarna kemerah2an seakan2 merah jambu..amat sesuai dgn maksud peribahasa tersebut...

    ReplyDelete
  2. Salams Cikgu... I cant seem to find reference that burung Pegar is used like owls as guard for sawah padi... this is important because all entries about this bird indicates that it eats grain as food.. so whywould they make good keepers of Sawah PAdi?

    ReplyDelete
    Replies
    1. https://amnaj.wordpress.com/2012/01/07/harapkan-pegar-pegar-makan-padi/

      Delete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. tak ada org bela burung pegar suruh jaga padi....biar logik lah sikit....

    ReplyDelete
  5. Masuk akal dan logik gak suh Pegar jaga supaya mkn serangga ke apa ke.. daripada Pagar makan padi. Pagar dimakan tu ye la..dimakan anai2, dimakan karat.

    ReplyDelete
  6. As salam.

    Pada saya penggunaan "pagar" adalah tepat manakala "pegar" tidak masuk akal.

    (1) Pernah kah ada pesawah menggunakan burung Pegar untuk mengawal serangga perosak padi. Sekira ada, sila beri rujukannya.

    (2) Pegar adalah haiwan jenis burung yang rata-rata akan makan padi. Dengan menerima perkataan "Pegar", secara tidak langsung anda telah menganggap pesawah itu bodoh kerana menggunakan "Pegar" untuk menjaga padi sedangkan pesawah tahu yang Pega akan makan padi berkenaan.

    (3) Pesawah mendirikan pagar dikeliling bendang dan mengharapkan pagar berkenaan akan dapat menghalang haiwan seperti lembu, kerbau, kambing dan sebagainya dari merosakkan sawah/padi.

    (4) Orang dulu jauh lebih bijak dari orang sekarang. Istilah "pagar makan padi" bukan bermaksud "pagar memakan padi" seperti burung makan padi. Ada kalanya pagar itu tumbang dan menimpa/merosakkan tanaman/padi, dan itu dikatakan pagar makan padi.

    Samalah seperti bila kita main Dam Haji. Buah Dam yang belum naik haji hanya boleh "makan" depan sahaja. Buah Dam yang sudah naik haji boleh "makan" depan/belakang. Bukankah kita guna istilah "makan" juga?

    Wallah hu alam.

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum, pada pendapat saya berkenaan peribahasa ini lebih memaksudkan kepada PEGAR. Ini lebih logik dengan perkataan 'makan' kerana haiwan ini makan padi. Peribahasa ini saya rasa memaksudkan betapa silapnya jika kita mengharapkan atau mempercayai burung pegar yang sebenarnya tak boleh diharapkan untuk menjaga padi kerana binatang ni mmg akan makan padi tu.

    Dah tau binatang tu makan padi kenapa harapkan dia jaga padi tu? Ya, disitu lah maksud peribahasa tu. Maksudnya kita lah yang tak bijak tu, mengharapkan si Pegar tu sbb kita ingat dalam banyak2 burung, burung ni takkan makan padi kita...mungkin kita harapkan dia akan makan ulat2 jer n jaga padi kita, rupa2nya padi kita pun dia makan juga. Macam harapkan kucing jaga ikan, kucing makan ikan. Salah kita la percayakan kucing tu sbb nampak dia baik takkan makan ikan kita... Harapkan si Polan, Si Polan yang amik duit kita. Silap kita percayakan si Polan. Ini saya rasa lebih dekat memaksudkan peribahasa ini.

    Kalau PAGAR, benda mati tak 'makan' padi tu. Kalau diambil sebab ia runtuh dan terhimpap padi sebagai 'makan' padi, saya rasa tak kena juga kerana bahagian yang terkena tu mesti la sikit je pun, takkan kita nak marah kat pagar pasal sikit je pun yang kene runtuhan pagar tu? Biasa ke pagar tetiba runtuh semua? Tentu la tidak kan? Berbanding burung Pegar yg lebih berpotensi buat kita upset tgk padi kita banyak yang hilang sbb dimakan Pegar sebab dia datang bukan seekor, dia datang bawak kawan2 dia, hari2 makan...lama2 habis. Kita pun cakap " harapkan Pegar, Pegar makan padi" sbb kita igtkan burung2 ni duduk kat sawah kita untuk makan serangga je... igt leh jimat la pest control, rupanya dia makan hasil kita. Ampes namanye ...

    Sekian lah pendapat 0.05 sen saya. Diharapkan dapat menyumbang fikiran kita sama2.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts